Fokus pulih ekonomi, bendung implikasi COVID-19

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah komited untuk memberi fokus utama kepada usaha memulihkan ekonomi yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19, kata Ketua Menteri yang baru dilantik Datuk Hajiji Noor.

Hajiji berkata kerajaan negeri akan memberikan komitmen penuh dalam menghadapi cabaran bagi membendung penularan wabak itu seterusnya menangani implikasinya.

“Kita mengambil alih kerajaan (negeri) ini dalam satu suasana yang bukan seperti biasa. Kita menghadapi masalah ekonomi akibat COVID-19. Justeru, matlamat utama kita sekarang ialah untuk memulihkan ekonomi akibat (penularan) wabak itu,” katanya. 

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, semalam.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang baharu dilantik iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.
 
Terdahulu Hajiji bersama ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri dan dua Menteri Kabinet Kerajaan Negeri yang baharu, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pagi semalam.

Dua menteri kabinet negeri itu ialah Menteri Kewangan II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun serta Menteri Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim.

Hajiji yakin menteri-menteri kabinet Sabah yang baru dilantik akan dapat menggalas tugas dan tanggungjawab dengan baik serta amanah kerana masing-masing mempunyai pengalaman dalam pentadbiran.

“Saya juga berharap mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab supaya melaksanakan tugas dengan sebaiknya,” katanya sambil menambah, kerajaan Sabah baharu akan menjadi satu kerajaan yang boleh membela nasib rakyat dan mentadbir negeri dengan baik.

“Amanah dan tanggungjawab ini amat besar dan mencabar. Saya memohon semua pihak termasuk rakyat untuk bersatu demi kepentingan tanah air. Hasrat saya untuk memimpin rakyat ke arah Sabah maju jaya,” katanya.
 
Sementara itu, Hajiji turut menjunjung kasih atas perkenan serta kepercayaan Tun Juhar melantik beliau untuk melaksanakan amanah sebagai ketua menteri Sabah dan menurutya pelantikan itu merupakan satu penyempurnaan kepada mandat diberikan rakyat Sabah untuk penubuhan sebuah kerajaan negeri.

“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan buat rakyat Sabah yang telah menunaikan hak serta tanggungjawab dalam proses demokrasi, sekali gus membolehkan penubuhan kerajaan baharu secara tertib dengan kewujudan mandat yang jelas.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah menzahirkan sokongan untuk saya memimpin kerajaan negeri Sabah, khususnya daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan ADUN Bebas,” katanya.

Gabungan Rakyat Sabah, merangkumi PN, BN dan PBS, memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada WARISAN pada PRN Sabah ke-16 apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri ini. – BERNAMA

- Advertisement -