Tahniah Ketua Menteri Sabah yang baharu

KUALA LUMPUR: PAS Sabah menyambut baik pelantikan Dato’ Sri Hajiji Mohd Nor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Ketua Penerangan PAS Sabah, Ahmad Dullah berkata terbentuknya kerajaan baharu ini diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam memastikan kehidupan rakyat di negeri itu terbela dari sudut kebajikan dan pembangunan.

Advertisement

“PAS juga berharap agar berlakunya keseimbangan antara pembangunan kebendaan dan pembangunan rohani.

“Selain itu, jalankan tanggungjawab yang diberikan dengan berdedikasi dan berintegriti tinggi” katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Ahmad, PAS Sabah sedia memberi kerjasama dan sokongan kepada pentadbiran kerajaan baharu ini dalam memastikan kestabilan politik dapat dikecapi sebaik mungkin oleh rakyat Sabah yang berbilang kaum dan etnik.

Dalam pada itu, menurut Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, pelantikan itu merupakan bukti semangat kesatuan dan setiakawan yang baik dalam GRS.

Katanya, kemenangan GRS adalah pilihan rakyat yang sudah tidak yakin dengan pemerintahan sebelum ini di bawah WARISAN.

“Kemenangan GRS adalah kemenangan rakyat Sabah. Rakyat Sabah sudah tidak yakin dengan WARISAN-PH. Rakyat Sabah sudah muak dengan janji-janji yang tidak dipenuhi,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2020