Sistem maklum balas perlu diperkukuh

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu sistem maklum balas dari bawah ke atas diperkukuh bagi memastikan wujud persepaduan dan kerjasama dalam pembuatan dasar selain penyelarasan pelan tindak yang lebih baik bagi mengurangkan ketidaksepadanan di antara keperluan sebenar dan perancangan di kawasan bandar.

Perdana Menteri berkata ini penting bagi memahami keperluan pelbagai kumpulan rakyat ketika Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai sebuah negara yang pesat membangun.

“Tidak dapat dinafikan semua ini memerlukan usaha bersepadu kementerian dan agensi di peringkat nasional, negeri dan setempat untuk bekerja bersama ke arah kesepakatan dasar dan strategi  agar pertumbuhan pada masa depan berlaku secara lebih bertanggungjawab, bersepadu dan lestari,” katanya.

Advertisement

Muhyiddin berkata demikian pada Forum Bandar Malaysia (MUF) 2020 bertemakan “ The Transformative Pathway and Actions To Deliver The Sustainable Agenda”, di sini semalam.

Beliau berkata satu daripada cabaran tersebut ialah pertumbuhan populasi di kawasan bandar memandangkan 80 peratus atau 26 juta rakyat dijangka mendiami kawasan bandar pada 2030 berbanding 77 peratus sekarang.

“Dengan saiz populasi yang begitu besar di bandar raya, kita menghadapi cabaran untuk memenuhi keperluan masyarakat bandar kita – menguruskan sisa buangan, masalah kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara yang semakin buruk, menyediakan rumah mampu milik, memastikan akses kepada bekalan air serta elektrik tanpa gangguan, akses berkualiti kepada pengangkutan awam dan telekomunikasi serta menangani banjir,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga menghadapi cabaran dari segi perubahan profil demografi yang mana akan wujud masyarakat menua menjelang 2045 dengan 14 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas. 

Perdana Menteri berkata cabaran yang bakal dihadapi ialah dari segi keperluan perkhidmatan kesihatan dan persekitaran fizikal.

“Justeru, persekitaran bandar raya dan bandar kita mesti mesra warga menua dan mesra gender dalam kita mempersiapkan diri mendepani perubahan profil masyarakat ini. Sudah tiba masa untuk kita menangani isu masyarakat menua dalam pelan pembangunan kebangsaan dan melihat semula perancangan serta pembangunan fizikal kita bagi memenuhi keperluan komuniti warga emas,” katanya. 

Muhyiddin berkata bandar raya juga harus memenuhi keperluan golongan kurang upaya dan menyediakan ruang awam berkualiti yang membolehkan mereka berkumpul dan memperkukuh perpaduan sosial selain membolehkan bandar raya mengetengahkan identiti budaya tempatan.

“Memandangkan hanya tinggal 10 tahun untuk mencapai Agenda Pembangunan Lestari 2030, kita  harus, bukan sahaja menangani cabaran dan aspirasi yang ditetapkan, tetapi juga melaporkan dan mengemukakan pelan tindakan, kemajuan serta usaha kita ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) seiring dengan wawasan Malaysia menjadi Negara Bandar Lestari,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata amat penting bagi pemimpin setempat, perwakilan masyarakat atau kerajaan dan pihak berkuasa tempatan beroperasi menerusi pendekatan keterlibatan yang akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem pengurusan.  

“Pemimpin setempat memainkan peranan yang semakin penting kerana mereka berhubung secara langsung dengan komuniti serta terlibat dalam perancangan, pembangunan dan pengurusan bandar raya,” tambah beliau.

Perdana Menteri berkata perkongsian yang kukuh antara semua peringkat juga penting termasuk dengan komuniti, badan bukan kerajaan, golongan profesional, perniagaan dan sektor swasta serta jentera kerajaan.

Sektor swasta memainkan peranan penting dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi tempatan serta menyediakan pekerjaan, katanya. – BERNAMA