Promosi LGBT di media sosial: Lapor ke pihak berkuasa

- Advertisement -

DALAM tempoh beberapa hari ini, kecoh di media sosial apabila tanda pagar (hashtag) yang menunjukkan perasaan bangga berada dalam kalangan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) menjadi sohor kini (trending) di aplikasi Twitter

Sebagai orang Islam, cubaan menormalisasi perbuatan songsang yang bertentangan dengan hukum syarak adalah sesuatu yang perlu ditentang keras. 

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua masyarakat Islam, agar membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap hantaran atau ciapan yang menyokong pengiktirafan terhadap golongan LGBT.  

- Advertisement -

Aduan secara dalam talian boleh dibuat melalui pautan: https://sebenarnya.my/salur/

Tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh SKMM di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) iaitu di bawah kesalahan “Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian”.

Pengguna media sosial yang menyiarkan kandungan yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. 

Selain daripada aduan kepada pihak yang berkuasa, #TetapNormal juga boleh disebarluaskan oleh umat Islam yang menjadi pengguna di aplikasi Twitter, sebagai bukti kita menolak cubaan untuk membudayakan LGBT dalam kalangan rakyat Malaysia.

Saya menegaskan bahawa kita menolak semua perbuatan mempromosi LGBT, bukan kerana membenci golongan ini tetapi tidak boleh membiarkan promosi dilakukan terhadap perbuatan maksiat kepada Allah. Mereka perlu disantuni dan dibimbing untuk kembali kepada fitrah, bukan dengan membantu memperjuangkan hak yang tidak diiktiraf oleh Islam dan Perlembagaan Persekutuan. 

Normalisasi terhadap agenda mengiktiraf golongan LGBT atas nama hak asasi manusia perlu dikekang daripada terus merebak di negara ini. Semua pihak yang beragama Islam berperanan dalam melaksanakan tuntutan amar ma’ruf nahi mungkar sebelum lebih ramai anak muda terjebak dalam perbuatan yang tidak bermoral ini. 

Sekian, terima kasih.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 29/9/2020

- Advertisement -