Program Subsidi Upah 2.0: Kerajaan PN bantu PKS

- Advertisement -

SAYA ingin menzahirkan penghargaan buat kerajaan hari ini di atas reaksi positif yang diberikan berkenaan cadangan yang telah saya bangkitkan dalam sesi sidang Dewan Rakyat tempoh hari. 

Dalam perbahasan Titah Diraja lalu, saya ada membahaskan perkara berkisar permasalahan yang berlaku kepada syarikat-syarikat kecil yang masih belum mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum 1 April 2020 sedangkan pengumuman Kerajaan dibuat pada 6 April 2020 menyebabkan masih banyak syarikat-syarikat kecil terutamanya yang masih belum mendaftar. 

Kenyataan Perdana Menteri beberapa hari lalu yang melanjutkan tempoh pendaftaran sekali lagi membuktikan Kerajaan benar-benar prihatin dan serius dalam memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasar. 

- Advertisement -

Saya yakin program yang menelan kos sehingga RM2.4 bilion mampu memberi harapan baru terutama kepada usahawan-usahawan atau peniaga dari Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik namun begitu ia memerlukan kerjasama daripada pihak majikan untuk segera membuat pendaftaran syarikat dan permohonan bantuan.  

Justeru, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas tindakan proaktif Kerajaan dan menyeru kepada semua majikan terutama usahawan PKS agar segera membuat pendaftaran dan menggunakan peluang kedua yang diberikan Kerajaan sebaik mungkin agar bantuan ini betul-betul dapat dinikmati oleh segenap masyarakat.  

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 29/9/2020

- Advertisement -