Politik matang PN, BN dan GRS di Sabah

- Advertisement -

MUKADDIMAH

PRN Sabah telah berakhir pada Sabtu baru-baru ini dan menyaksikan WARISAN Plus tumbang kepada gabungan PN, BN dan GRS yang menang sebanyak 38 kerusi. Rakyat Sabah sudah membuat keputusan dan menunjukkan sikap di dalam peti undi.

Ramai pihak menjangkakan gabungan PN, BN dan GRS akan menghadapi kesulitan menamakan Ketua Menteri yang baru. Tetapi jangkaan itu jelas meleset, apabila gabungan itu pada Isnin semalam membuat sidang media bersama setuju menamakan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri yang disepakati bersama. Ketua Menteri baru mengangkat sumpah pada hari ini.

- Advertisement -

Kematangan kepimpinan politik Sabah

Keputusan itu menunjukkan kematangan kepimpinan politik Sabah. Umum mengetahui bahawa dalam siri kempennya di Sabah Tan Seri Muhyiddin Yassin menyatakan hasratnya mahukan Hajiji sebagai Ketua Menteri. Sementara itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula mahukan jawatan Ketua Menteri diberikan kepada BN yang memenangi kerusi terbanyak bagi gabungan itu.

Perselisihan pendapat itu dibawa ke meja rundingan sehari selepas PRN berakhir. Rundingan memutuskan untuk menghantar dua nama kepada Tuan Yang Terutama, Tun Juhar. TYT memaklumkan beliau memerlukan sedikit masa untuk membuat pilihan terbaik.

Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan hasrat BN untuk mendapatkan kerusi Ketua Menteri, namun memberi kuasa autonomi membuat keputusan kepada ADUN-ADUN BN Sabah untuk berunding dengan PN dan GRS bagi mencapai kata putus.

Semalam, kata putus dicapai oleh semua pihak untuk mencalonkan Hajiji sebagai Ketua Menteri yang baru. 

Keputusan itu dialu-alukan oleh semua pihak. Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada ahli gabungan yang bersetuju untuk mencalonkan Hajiji. Ahmad Zahid juga mengeluarkan kenyataan bersetuju menerima keputusan BN Sabah. Pemimpin-pemimpin Kerajaan PN dan gabungan parti MN juga mengalu-alukan keputusan itu dan mengucapkan tahniah kepada Hajiji. Dengan itu, rakyat Sabah tidak dibebani dengan krisis politik yang berpanjangan.

Tidak ada ruang untuk WARISAN Plus

Kesepakatan padu itu menamatkan sebarang spekulasi bahawa WARISAN Plus masih ada ruang untuk kembali menjadi kerajaan melalui rundingan terus dengan ADUN-ADUN BN dan GRS yang tidak berpuas hati dengan pemilihan Hajiji.

Kesepakatan yang dicapai segera dalam tempoh yang singkat itu berjaya menghalang Negeri Sabah daripada sekali lagi terjerumus ke dalam ketidak-stabilan politik yang berpanjangan.

Ia adalah seribu rahmat untuk rakyat Sabah, terutamanya pada musim jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat.

Isyarat kepada Anwar

Cara kepimpinan PN dan MN menguruskan perselisihan pendapat sesama sendiri di Sabah memberi isyarat yang jelas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa hasratnya untuk ke Istana Negara menjadi Perdana Menteri (PM) dalam jangka masa terdekat dengan memecah belahkan sokongan Ahli-ahli Parlimen yang mendukung Kerajaan PN adalah tidak akan kesampaian.

Kerajaan PN telah teruji di dalam pilihan raya ini. Jenama itu sedang berkembang mekar. Begitu juga YAB PM Tan Seri Muhyiddin Yassin, beliau telah menunjukkan kemampuan luar biasa dalam mempengaruhi pengundi dan mendapatkan sokongan masyarakat Malaysia.

Jenama PH dan Anwar semakin kurang ‘trending’ jauh ketinggalan di belakang jenama PN dan Muhyiddin yang semakin ‘trending’. Ia semakin kurang ‘trending’ apabila asyik membangkang setiap inisiatif positif yang dikemukakan oleh Kerajaan PN tanpa mengira sebarang tempat dan waktu.

Tiba masa Anwar kembali memujuk sekutunya yang asal Tun Mahathir, DAP dan PAN yang merajuk besar apabila beliau diura-urakan akan bekerjasama dengan Umno.

Isyarat untuk rakyat Malaysia 

PN juga dalam PRN Sabah menunjukkan isyarat yang jelas kepada seluruh rakyat Malaysia, mereka boleh diharap untuk menyelesaikan masalah-masalah rakyat. Mereka prihatin terhadap kerisauan yang dihadapi oleh rakyat. Mereka dapat mengemukakan solusi-solusi praktikal bagi hal-hal yang tersebut.

Mereka tidak mengutamakan agenda ‘berpolitiking’ sesama sendiri sehingga mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagaimana era PH yang lepas.

PN tidak sibuk mempromosikan diri mereka dengan slogan-slogan cakna rakyat dan negara seperti yang dibuat oleh PH, namun men’capati’kan semuanya dalam tindakan. Bahkan PN menunjukkan kecaknaan mereka kepada rakyat dan negara secara praktikal tanpa perlu banyak mempromosi diri. ‘They just walk the talk’.

Penutup

Penghargaan juga perlu diberi kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menjadi Pengarah PRN Sabah bagi jentera BN. Beliau telah membuat keputusan yang besar demi rakyat Sabah dengan menyetujui Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru.

Penghargaan juga kepada semua jentera pilihan raya gabungan PN, BN dan GRS, termasuk PAS Sabah yang telah telah menggerakkan seluruh jenteranya membantu rakan-rakan gabungan walaupun tidak diperuntukkan bertanding di mana-mana kerusi di dalam PRN ini. Masa berpolitiking telah tamat, tiba masa untuk bekerja pula.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL – HARAKAHDAILY 29/9/2020

- Advertisement -