Kuala Lumpur ‘Bandar Untuk Semua’

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘Bandar Untuk Semua’ dengan menghasilkan Laporan Kajian Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bagi Pelan Induk Bandar Pintar Kuala Lumpur 2021-2025 dan Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050. 

Pelan Induk Bandar Pintar Kuala Lumpur 2021-2025 merupakan dokumen mengandungi inisiatif DBKL bagi menaik taraf perkhidmatan teknologi manakala Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 adalah kesinambungan kepada usaha berterusan DBKL dalam memerangi perubahan iklim dihadapi Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata laporan itu akan menjadi asas kepada usaha dan program yang akan dilaksanakan DBKL demi mencapai matlamat kelestarian dan kemampanan Kuala Lumpur pada masa hadapan. 

Advertisement

Beliau berkata kemajuan teknologi dan kemampanan alam sekitar sangat penting dalam kehidupan kini dan masa hadapan. 

“Secara amnya, Kuala Lumpur sering berhadapan dengan cabaran kota, baik dari segi perancangan, pembangunan, alam sekitar, teknologi, iklim, penguatkuasaan dan lain-lain. 
 
“Cabaran ini merupakan tanggungjawab bersama dan perlu ditangani bersama-sama dan ia memerlukan usaha bersepadu daripada pelbagai agensi dan masyarakat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan laporan berkenaan, di sini semalam. 

Menurut Nor Hisham, laporan itu dibuat supaya setiap cabaran di Kuala Lumpur dapat diatasi sekali gus menjadi bandar yang popular untuk dikunjungi oleh pelabur dan pelancong antarabangsa. 

“Kemungkinan besar lebih 80 peratus orang ramai akan memilih untuk duduk di kota dalam tempoh 20 ke 40 tahun akan datang. 

“Jadi, kami berharap agar laporan ini menjadi salah satu platform terbaik kepada Kuala Lumpur dalam menguruskan cabaran bandar,” katanya. 

Beliau berkata laporan tersebut akan dikongsi kepada semua pihak berkepentingan dan warga kota pada awal tahun hadapan. – BERNAMA