Hajiji angkat sumpah KM Sabah secara rasmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Hajiji Noor hari ini telah selamat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri pada jam 10.32 pagi tadi.

- Advertisement -

Beliau akan dibantu oleh tiga timbalan iaitu Pengerusi BN Sabah, Dato’ Seri Bung Moktar Radin (Timbalan Ketua Menteri), Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Dato’ Dr Jeffrey Kitingan (Timbalan Ketua Menteri II) dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dato’ Dr Joachim Gunsalam (Timbalan Ketua Menteri III).

Dalam pada itu, Bung turut memegang portfolio sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, sementara Kitingan dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan dan Joachim sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah.

Timbalan Pengerusi Bersatu Sabah Dato’ Seri Masidi Manjun turut mengangkat sumpah sebagai Menteri Kerja Raya dan Setiausaha Agung PBS Dato’ Jahid Jahim sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Sabtu lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah berjaya memenangi 38 kerusi berbanding WARISAN Plus mendapat 32 kerusi manakala Bebas 3 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN). – HARAKAHDAILY 29/9/2020

- Advertisement -