
INDERA MAHKOTA: Atas rasa perihatin dan tanggungjawab terhadap penduduk, Pusat Khidmat DUN Beserah (PKD) telah mengadakan gotong-royong bersama masyarakat setempat di Kampong Balok
ADUN Beserah, Andansura Rabu memaklumkan, berikutan dua kes terbaharu denggi di persekitaran tersebut, maka pihaknya telah menggerakkan inisiatif bagi membersihkan kawasan di perumahan ini, semalam.
“Denggi adalah wabak yang masih lagi berterusan yang tidak dapat kita atasi bersama sekiranya tiada kerjasama dari semua orang. Apa yang penting adalah melibatkan setiap orang daripada kita kena ada kawalan kendiri seperti mana kita berhadapan dengan COVID-19 juga,” katanya.
Tegasnya, setiap dari individu perlu memutus dan menghapuskan segala potensi lokasi dan tempat-tempat yang memungkinkan berlakunya pembiakan nyamuk Aedes yang menjadi punca denggi agar dapat dikawal dari terus merebak.
“Dalam suasana keadaan cuaca hujan dan panas menjadikan ia satu persekitaran yang sangat mudah untuk pembiakan nyamuk Aedes. Jadi untuk mengawal pembiakan, perlukan semua pihak, penduduk, terutama sekali tuan rumah untuk membantu.
“Sama-sama bergotong royong dan selepas itu setiap minggu ambil masa sedikit untuk memantau dan membuat pembersihan kawasan rumah masing-masing,” serunya.
Seterusnya saran beliau, agar selepas aktiviti gotong-royong dilaksanakan, tempat tersebut jangan dibiarkan kembali kotor supaya tidak berlaku lagi pembiakan nyamuk Aedes. – HARAKAHDAILY 28/9/2020

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!