Serangan ‘rama-rama import’ rosak jagung susu

BACHOK: Serangan ‘rama-rama import’ yang memusnahkan banyak tanaman jagung susu di Bachok dibimbangi merebak ke kawasan lain.

Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan Norbahani Zakaria berkata, seekor rama-rama berkenaan boleh terbang sehingga 100 kilometer semalaman.

Advertisement

Katanya, rama-rama itu hinggap ke atas tanaman dan bertelor manakala lavanya pula memakan pokok terutamanya tanaman jangka pendek.

“Lebih membimbangkan spesis itu turut hinggap ke atas tanaman padi. Sedangkan Kelantan merupakan salah sebuah negeri pengeluar padi terbesar di negara ini,” katanya ketika melakukan tinjauan tanaman jagung yang rosak teruk akibat spesis itu di Kampung Sungai di sini, hari ini.

Beliau berkata, serangan rama-rama itu bermula dari Thailand kemudian merebak ke Perlis, Kedah, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh dan terbaharu di Bachok.

Menurutnya juga serangan itu boleh dikawal di peringkat awal dengan semburan racun.

“Tetapi jika serangan itu berlaku di peringkat pengeluaran buah pokoknya perlu dipotong dan dibakar sebagai usaha membendung penularannya lebih meluas,” katanya.

Ketua petani tanaman jagung berkelompok di Kampung Sungai, Mohamed Noor Awang Hamat, 71 berkata, pihaknya mengalami kerugian hampir RM200,000 apabila lebih 70 peratus tanamannya musnah dimakan spesis berkenaan dalam tempoh dua minggu lepas. – HARAKAHDAILY 28/9/2020