Rakyat Sabah tidak termakan sentimen anti nasional

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menunjukkan rakyat Sabah tidak termakan dengan sentimen anti nasional yang ditiupkan oleh pihak tertentu.

Setiausaha Politik Menteri Alam Sekitar dan Air, Dr Zuhdi Marzuki berkata rakyat Sabah dilihat mementingkan kestabilan politik melalui kerjasama erat persekutuan dan negeri, berbanding dengan politik pecah dan perintah yang sering menjadi strategi pihak pembangkang.

- Advertisement -

“Pengumuman Ketua Pembangkang (bahawa) beliau telah mempunyai majoriti di parlimen dua hari sebelum mengundi merupakan salah satu usaha pecah dan perintah supaya komponen-komponen GRS saling mencurigai satu sama lain,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Katanya lagi, dengan kemenangan GRS akan mengukuhkan lagi kerajaan PN serta memberi peluang lebih besar kepada Muafakat Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GRS.

Pada masa yang sama, tambah beliau, ia akan meletakkan jumlah kerusi lebih selesa dalam Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15) nanti.

Mengulas berhubung kemungkinan berlaku PRU-15 lebih awal katanya, ia adalah sesuatu yang sukar ditolak.

“PRU-15 perlu disegerakan untuk membina keyakinan kepada awam termasuk pelabur asing bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas ini tidak lagi goyah dan mendapat dukungan majoriti rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/9/2020

- Advertisement -