PESP bantu pemuda ubah haluan hidup

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang guru Matematik Tambahan di Maktab Sultan Abu Bakar di sini yang menghantar permohonan Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) secara senyap-senyap untuk pelajarnya secara langsung mengubah haluan hidup seorang lelaki.

Haziq Samsualdin, 32, yang kini berjawatan Pengurus Wilayah Petronas Dagangan Berhad Johor, berkata beliau tidak pernah menduga akan menyertai gergasi petroleum negara itu, apatah lagi berada pada kedudukan sekarang.

“Saya kehilangan ayah secara mengejut pada usia tiga tahun dan ini meninggalkan impak besar dalam hidup saya, menjadikan saya seorang yang berdikari. Melihat jerih ibu membesarkan saya, abang dan kakak mendorong saya berusaha untuk cemerlang dalam pelajaran bagi membantu ibu,” katanya kepada Bernama di sini.

- Advertisement -

Beliau yang berterima kasih kepada guru Matematik Tambahannya itu, berkata selepas terpilih menerima tajaan PESP pada 2006 untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas (UTP),  beliau tidak lagi menoleh ke belakang dan berusaha memajukan diri.   

Haziq berkata selepas menamatkan pelajaran pada 2010, beliau ditawarkan pekerjaan oleh Petronas yang diterimanya dengan penuh rasa syukur.    
 
“Antara rahsia kejayaan yang saya dapat kongsikan ialah kita kena ikhlas dalam segenap aspek sama ada dari segi pelajaran mahupun pekerjaan kerana itu yang saya pegang hingga kini,” katanya yang menjadikan arwah ayahnya Samsualdin Abd Ghaffar sebagai pembakar semangat.

Menurutnya beliau kini gembira dapat melihat ibunya, Hamidah Mahmood, 72 yang bekerja sebagai pembantu pegawai di sebuah pejabat FELDA untuk membesarkannya tiga beradik, dapat berehat dan menikmati hari-hari tua dengan tenang.

Sejak penubuhannya pada 1975 hingga kini,  Petronas telah menaja kira-kira 37,000 pelajar dengan nilai tajaan lebih RM3.3 bilion menerusi PESP. – BERNAMA

- Advertisement -