Peluang PN melakar kejayaan besar PRU-15

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada Sabtu lalu memberikan gambaran dan peluang besar kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melakar kejayaan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

PRN Sabah menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata kemenangan itu jelas menunjukkan bahawa rakyat Sabah mahukan sebuah kerajaan yang stabil, prihatin dan mengutamakan kesejahteraan rakyatnya.

“UMMAH mengharapkan agar kerajaan yang diterajui oleh GRS ini akan sentiasa peka kepada kehendak rakyat, saling bekerjasama dan mengutamakan muafakat dalam menentukan arah tuju polisi dan dasar kerajaan Negeri Sabah,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Tambahnya, UMMAH menzahirkan ucapan tahniah kepada rakyat Sabah kerana bijak memilih dalam menentukan masa hadapan negerinya dengan memilih kerajaan yang mampu memimpin dengan baik dan telus.

GRS iaitu parti gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi PRN kelmarin selepas berjaya meraih 38 kerusi daripada 73 kawasan iaitu majoriti lima kerusi.

PRN Sabah ke-16 menyaksikan sejumlah 447 calon daripada 15 parti politik termasuk 56 calon Bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam persaingan pelbagai penjuru dengan purata enam calon bagi setiap kawasan. – HARAKAHDAILY 28/9/2020

- Advertisement -