PBS tegaskan teguh bersama GRS

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan tegas menafikan bahawa parti itu akan bergabung bersama WARISAN Plus untuk menubuhkan kerajaan baharu Sabah.

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai menegaskan dakwaan tersebut tersebar luas di media sosial susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelmarin.

“PBS, sebagai rakan setara dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal teguh dengan sekutunya – Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

- Advertisement -

Joniston juga memberitahu Bernama bahawa PBS turut menafikan parti itu telah mula membuat tuntutan dalam kabinet kerajaan baharu yang akan dibentuk kerana setakat hari ini perkara itu tidak pernah dibincangkan.

Joniston mengekalkan kerusi DUN Kiulu selepas mengalahkan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan empat lagi calon dalam pertandingan enam penjuru.

PBS mengadakan mesyuarat ‘post-mortem’ keputusan pilihan raya di kediaman presiden parti pagi semalam.

PBS menyumbang tujuh daripada 38 kerusi dimenangi oleh GRS yang memberikan gabungan itu majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

WARISAN Plus terdiri daripada WARISAN, DAP, PKR, UPKO dan PAN, gagal mempertahankan tampuk pemerintahan kerajaan negeri selepas menang 32 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri ke-16 kali ini. – BERNAMA

- Advertisement -