PAS Nibong Tebal rai anak ahli ke IPT

NIBONG TEBAL: Lajnah Pendidikan PAS Kawasan Nibong Tebal telah menganjurkan program Gerbang Menara Gading yang telah dilangsungkan di SRITI Al-Qawwam, di sini kelmarin.

Advertisement

Program ini sebagai meraikan serta memberi dorongan semangat kepada anak-anak ahli PAS setempat untuk lebih berjaya dan mencapai kecemerlangan akademik dan insan di institusi itu nanti.

Hadir sama adalah Yang DiPertua PAS Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff yang dalam ucapannya menekankan kepentingan menuntut ilmu serta bersungguh-sungguh berjaya selaku pewaris legasi perjuangan sebagaimana ibu ayah mereka.

Program diisi dengan pengisian daripada dua motivator iaitu Pensyarah Universiti Sains Malaysia (Kampus Kejuruteraan), Prof Dr Suffian Yusof dan Pengerusi SRITI Al-Qawwam, Ustaz Farid Din.

Antara diperingatkan motivator adalah liku-liku menuntut ilmu yang digambarkan sukar seperti mahu membina menara atau seperti mendapatkan gading daripada gajah, namun mesti dilalui.

Sempena program ini pihak PAS Nibong Tebal juga telah menyampaikan sumbangan khas kepada anak-anak ini dalam majlis yang turut diraikan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Nibong Tebal, Ustaz Alwi Ibrahim. – HARAKAHDAILY 28/9/2020