PAS buka kaunter daftar pemilih di Rope Walk

GEORGE TOWN: PAS Kawasan Tanjung dengan bekerjasama PAS Kawasan Bayan Baru telah mengambil inisiatif membuka kaunter daftar pemilih di pusat perniagaan tumpuan pengunjung iaitu Rope Walk, di sini 26 dan 27 September kelmarin.

Advertisement

Pembukaan kaunter ini sebagai satu usaha dalam memberi kesedaran dan membuka perkhidmatan untuk memudahkan pendaftaran menjadi pengundi pilihan raya terutama dalam kalangan ‘first time voters’.

Aktiviti oleh petugas pilihan raya dari kedua-dua Parlimen ini turut diberi dorongan semangat dengan kehadiran Yang DiPertua PAS Tanjung, Yaacob Omar dan juga Timbalan Yang DiPertua PAS Bukit Kawasan Bendera, Saiful Lizan Md Yusoff.

Hasilnya, daripada kaunter yang dibuka selama 2 hari ini telah menarik minat ramai pengunjung Rope Walk untuk mendapatkan maklumat berkaitan selain mendaftarkan diri sebagai pemilih bagi PRU15 bakal diadakan tidak lama lagi.

Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Parlimen Bayan Baru, Ahmad Rizam Md. Nor, aktiviti ini akan dipergiatkan lagi supaya lebih ramai anak muda terutama Melayu yang belum mendaftarkan diri sebagai pengundi supaya berbuat demikian segera.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya, seramai 4.2 juta penduduk di negara ini yang berusia 21 tahun ke atas dan layak mengundi, tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih. – HARAKAHDAILY 28/9/2020