Meninggikan mutu solat kunci segala kebaikan

ROMPIN: Lajnah Dakwah Muslimat PAS Kawasan Rompin telah menganjurkan Daurah Fiqh Solat melibatkan penyertaan kalangan penggerak parti yang diadakan di Surau Al-Ansari, Desa Keranji Muadzam Shah, di sini kelmarin.

Advertisement

Program khas ini bermatlamatkan untuk meninggikan lagi mutu perbuatan dan amalan solat termasuk bacaan serta penghayatannya sebagai ubudiyah bagi seorang Muslim penegak perjuangan agama Allah.

Penceramah jemputan dan pembimbing bagi pengisian ini adalah Naib Ketua Ulamak PAS Negeri Pahang, Ustaz Khairul Azmi Ismail yang juga merupakan Mudir Maahad Tahfiz Darul Fikri, Kampung Seri Damai, Kuantan.

Solat yang menghadapkan muka dan badan setiap orang ke arah Baitullah telah dianalogikan beliau sebagai bergerak dalam satu hala, tujuan, visi dan misi serta dengan satu hati pada setiap masa dan keadaan.

Menurutnya, dengan harapan agar setiap penggerak menitikberatkan perihal solat, moga nanti ianya menjadi asbab yang dapat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.

“Ibadah solat juga mengajar kita supaya bijak menguruskan masa serta dapat menjadi Mukmin yang berpegang kepada amanah menepati janji kepada Allah,” ujarnya.

Pimpinan PAS Rompin yang hadir sama adalah Timbalan Yang DiPertua, Ramli Awang Ahmad dan Ketua Muslimat, Ustazah Rosmaria Yusuf serta Pengerusi Lajnah Kebajikan, Abu Bakar Jasin. – HARAKAHDAILY 28/9/2020