Kesepakatan PN-BN pukulan hebat kepada PH

KUALA LUMPUR: Kesepakatan di antara tiga gabungan iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya (PRN) Sabah memberi satu pukulan hebat kepada kerajaan yang dipimpin oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang bersengkongkol dengan DAP.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, PRN Sabah menjadi bukti bahawa kesepakatan di antara gabungan itu memberi satu petanda yang jelas membuktikan bahawa kesepakatan itu pasti membawa kejayaan.

Advertisement

Beliau yang dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, walaupun pelbagai api sentimen dimainkan oleh pihak tertentu bagi meraih kemenangan, namun rakyat Sabah lebih matang dan bijak menolak parti yang dipimpin oleh WARISAN dan mampu mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada parti itu.

Malah katanya, rakyat Sabah sama sekali tidak boleh terima penglibatan DAP di Sabah kerana selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah bersama DAP, telah menimbulkan pelbagai masalah.

GRS berjaya merampas tampuk pemerintahan negeri selepas menang 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding WARISAN Plus memenangi 32 kerusi.

PN memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) mendapat 14 kerusi, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) menawan tujuh kerusi..

Gabungan WARISAN Plus, iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN) pula menang 29 kerusi DUN, manakala PKR menang dua kerusi dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pula meraih satu kerusi.

PRN Sabah diadakan selepas Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai lalu. – HARAKAHDAILY 28/9/2020