MUAR: Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Parlimen Muar telah disempurnakan Pegawai Menteri Besar Terengganu, Ustaz Azman Shapawi di Pusat Tarbiah PAS Muar, Parit Pechah, di sini kelmarin dahulu.
Pimpinan PAS Muar yang hadir sama adalah Yang Dipertua, Abd Aziz Talib serta Timbalan dan Naib Yang DiPertua, Cheman Yusoh dan Dr Mohamad Taslim serta Ketua Pemuda dan Muslimat, Ustaz Ridzuan Nazri dan Norhayati Sulaiman.
Dalam ucapannya, Ustaz Azman menekankan peri pentingnya pemahaman ahli PAS sendiri terhadap perjuangan parti yang berbeza prinsipnya dengan parti-parti lain.
Tegas beliau, dasar utama PAS adalah menjunjung Al-Quran dan Hadis di mana rujukan dari sumber itu memandukan setiap tindakan atau keputusan yang dilakukan parti ini.
“PAS bukan sekadar parti politik untuk pilihan raya sahaja tetapi badan dakwah membawa Islam di mata masyarakat dan dunia.
“Sesibuk mana menghadapi berbagai pilihan raya, PAS tetap terus berdakwah, membuat kebajikan membantu khalayak dan bermacam agenda menyantuni masyarakat,” ujarnya.
Beliau juga mengingatkan agar semua ahli PAS sama-sama membantu parti untuk menghadapi PRU15 yang akan diadakan bila-bila masa saja dengan mengumpul dana bagi melancarkan gerak kerja.
“Harus wala’ dengan apa juga arahan pimpinan agar sentiasa ada kesatuan lebih-lebih lagi dengan adanya kerjasama Muafakat Nasional dan Pakatan Nasional. Dengan muafakat yang baik kemenangan mudah dicapai,” ujarnya.
Majlis diakhiri dengan pelancaran tabung dana pilihan raya dan bacaan ikrar oleh semua hadirin yang hadir. – HARAKAHDAILY 28/9/2020

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!