KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini sebulat suara melantik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Dato’ Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri (KM) Sabah yang baharu, esok.
Perkara itu diumumkan oleh Hajiji sendiri dalam satu sidang media yang turut disertai oleh Pengerusi BN Sabah Dato’ Sri Bung Moktar Radin selepas perjumpaan tertutup GRS, hari ini.
“Kami telah setuju sebulat suara untuk menamakan saya sebagai Ketua Menteri Sabah,” kata Hajiji.
Hajiji dijadualkan akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri esok pada jam 10.30 pagi.
Sabtu lalu, GRS yang dianggotai PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah berjaya memenangi 38 kerusi berbanding Warisan Plus mendapat 32 kerusi manakala Bebas 3 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sementara itu, Bung Moktar berkata beliau yakin kerajaan baharu ini mampu untuk memulihkan semangat rakyat yang selama ini hilang disebabkan pemerintahan lalu yang tidak prihatin masalah rakyat.
“Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin selesai sahaja majlis angkat sumpah Ketua Menteri, kita akan memulakan langkah untuk memastikan rakyat di bawah mendapat perhatian daripada kerajaan dan semua rakyat tidak lagi main politik, kita memikirkan masalah negeri Sabah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/9/2020