Buka pintu Mahkamah Syariah

KONFLIK pertindanan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah sering mendapat perhatian media. Ia adalah dilema yang dihadapi dalam hubungan antara masyarakat Islam dan bukan-Islam. Dalam konteks Malaysia, ia diburukkan lagi dengan sentimen agama dan perkauman, yang disulami dengan emosi dan sikap berprasangka antara satu sama lain.

Isu satu pihak beragama Islam dan satu pihak lagi tidak beragama Islam perlu ditangani dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. Malah, sejarah juga perlu ditelusuri bagi mencari kaedah terbaik penyelesaian kemelut itu.

Semua enakmen negeri melibatkan Undang-undang Islam dalam negara meletakkan peruntukan bahawa Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan memutuskan perkara di mana kedua-dua pihak mestilah beragama Islam.

Advertisement

Penulis berpendapat bahawa sudah sampai masanya peruntukan itu diubah demi menjaga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Malah, Butiran 1 kepada Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda bagi maksud itu. Begitu juga mana-mana undang-undang lain yang menyanggah orang bukan-Islam daripada diadili di Mahkamah Syariah perlu dimansuhkan.

Namun, meminda semua undang-undang di atas memerlukan kesatuan fikrah dan usaha umat Islam. Mengecilkan skop keadilan hanya kepada pihak beragama Islam sebenarnya bertentangan dengan prinsip keadilan Islam itu sendiri. Sejarah Perundangan Islam sendiri telah membuktikan penghakiman Mahkamah Syariah tidak semestinya memihak kepada orang Islam. Banyak kes telah dilaporkan mengenai Mahkamah Islam memberi penghakiman kepada orang bukan-Islam, malah pemimpin Islam juga pernah dikalahkan oleh rakyat biasa bukan beragama Islam.

Orang bukan-Islam tidak perlu gusar kerana hal itu tidaklah bertujuan mengislamkan orang bukan-Islam. Hanya dalam perkara-perkara tertentu seperti melibatkan orang Islam dan hukum syarak, permasalahan itu perlu ditadbir di Mahkamah Syariah.

Pelaksanaan kedua-dua pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah tidak semestinya beragama Islam telah diamalkan di Brunei. Negara itu adalah tamsil yang baik boleh kita ikuti kerana Kerajaan Brunei menyuntik prinsip Islam dalam pentadbiran dan pada masa yang sama tidak menolak kemajuan.

Begitu juga kontroversi bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah yang sering melanda Malaysia dapat diselesaikan dengan aman dan harmoni di Brunei. Hal itu dijelaskan umpamanya dalam Hal Ehwal Undang-undang Keluarga Brunei, Bab 5 Perintah Darurat (Undang-undang Keluarga Islam) 1999 yang menyatakan peruntukan Undang-undang Keluarga Islam terpakai dalam sebarang hal di mana sekurang-kurangnya satu pihak menganut agama Islam dan sekurang-kurangnya salah satu pihak sama ada atau tidak dia menganut agama Islam, bermukim atau bermastautin di negara itu tetapi bermukim di luar negara.

Rakyat bukan-Islam di Brunei tidak membantah undang-undang itu kerana mereka tahu ia bukan bertujuan menukar kepercayaan agama mereka kepada Islam. Rahsia kejayaan Brunei itu wajar dikaji dan diikuti untuk diterima pakai supaya Malaysia dapat mempelajari dan menambah baik peruntukan yang ada sekarang ini. 

Sering apabila isu berkaitan pemelukan Islam oleh seorang mualaf (khususnya apabila suami memeluk Islam) dikupas, pelbagai pihak membuat andaian dan memberi pandangan negatif.

Jika kita meneliti Laporan Ong (suruhanjaya yang dibentuk bagi menggubal Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976) adalah jelas tertulis bahawa orang bukan-Islam yang memeluk Islam itu hendak lari daripada tanggungjawab mereka dan oleh demikian, mereka tidak perlu diberi hak membubarkan perkahwinan.

Sikap prejudis itulah yang dicanang dan merendahkan martabat mualaf, sedangkan menurut Undang-undang Islam, mualaf menikmati jaminan dan keistimewaan sama seperti orang yang lahir Islam.

Penulis berpandangan, penyelesaian konflik itu adalah dengan membuka ruang kepada orang bukan-Islam di Mahkamah Syariah. Mana-mana undang-undang yang menjadi halangan perlu dipinda bagi merealisasikan maksud tersebut.

Sejarah Perundangan Islam sendiri telah membuktikan penghakiman Mahkamah Syariah tidak semestinya memihak kepada orang Islam.

DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR 
Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia – HARAKAHDAILY 28/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.