ARC berusrah di Madrasah Solok Terubuk

PERMATANG PAUH: Unit Tarbiah Alternative Riding Club (ARC) Negeri Pulau Pinang telah mengadakan Usrah Santai dengan kerjasama Madrasah Darul Quran Solok Terubuk, di sini kelmarin.

Advertisement

Program ini menghimpunkan seramai 125 peserta dalam kalangan ahli ARC seluruh negeri ini sebagai acara rutin bulanan dalam mengikat ukhuwah serta menarik penyertaan keahlian baharu.

Pengarah ARC Pulau Pinang, Shahidan Saad memimpin himpunan ini dengan menyusun pelbagai aktiviti terutama pengisian rohani serta acara yang disampaikan oleh penceramah jemputan.

Selalunya, program ini turut dihadiri oleh pimpinan PAS setempat yang menyuntik semangat ahli-ahli ARC kepada perjuangan PAS serta kefahaman mereka terhadap Islam.

Namun, pengisian tetap Usrah Santai ini sering kali dipenuhi penyampaiannya oleh Naqib ARC Pulau Pinang, Ustaz Hambali Zulkiflie di mana kali ini mengupas mengenai wala’ dan ketaatan.

Perkara tersebut jelasnya amat penting sebagaimana juga ketika berkonvoi iaitu perlu patuhi arahan Marshall bertugas agar pergerakan bukan sahaja sempurna, bahkan selamat. – HARAKAHDAILY 28/9/2020