PRN Sabah : Pentingnya memperkukuhkan muafakat dan perpaduan

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH selesai sudah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan keputusannya pun sudah diketahui di mana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dianggotai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mendapat 38 kerusi, gabungan Warisan, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR mendapat 32 kerusi dan gabungan lain-lain hanya mendapat 3 kerusi.

- Advertisement -

Tahniah buat BN, PN dan GRS. Tahniah juga buat PAS yang sanggup berkorban demi menjaga perpaduan muafakat.

Walaupun begitu, kemenangan ini bukan suatu kemenangan selesa dan bergaya. Tidak ada parti yang dominan. Semoga tidak ada wakil rakyat yang dipilih lompat melompat demi menjaga kepentingan peribadi

Keputusan PRN Sabah menunjukkan tidak semua kaum Cina bersama DAP yang berselindung di sebalik Warisan.

Kekuatan Warisan menguasai Pantai Timur Sabah tidak boleh dipandang sepi. PKR tidak mendapat tempat di hati rakyat Sabah apatah lagi PAN.

Keputusan PRN Sabah memberikan isyarat jelas tentang pentingnya menjaga dan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan parti-parti yang bergabung di bawah BN, Muafakat Nasional (MN) dan PN.

Kehadiran GRS begitu juga Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah sangat penting dalam menjaga kestabilan politik negara terutama buat kerajaan PN.

Oleh saya sangat bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) mengutamakan politik damai dan perpaduan Melayu Islam bagi mengekalkan kuasa dominan yang ada di tangan kaum Melayu Islam dengan kerjasama pribumi Sabah dan Sarawak.

Syabas buat rakyat Sabah. Mereka telah menghantar isyarat jelas tentang betapa pentingnya perpaduan dan kesefahaman serta pengorbanan dalam mengekalkan kuasa politik di zaman sumber maklumat yang tidak ada sempadan.

PKR tidak mendapat tempat di Sabah dan DAP yang menggunakan lambang Warisan hanya mampu meraih kemenangan di kawasan majoriti Cina. Ternyata rakyat Sabah juga terkesan dengan naratif “kerajaan tanpa DAP”.

Percubaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang cuba memancing undi rakyat Sabah dengan mengisytiharkan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh tidak menjadi seperti pepatah Melayu ‘ayam terlepas, tangan bau tahi’.

Sentimen kerajaan tanpa DAP sangat kuat bermain di minda orang-orang Melayu Islam terutamanya di Semenanjung.

Kegagalan menunaikan janji manifesto atau istilah bahasa pasar “kencing” masih segar di minda pengundi dan ianya sangat menghantui Pakatan Harapan (PH).

Pengalaman dan pahit maung 22 bulan berada di bawah kerajaan PH yang bersinergi dengan DAP tidak akan mudah dilupakan oleh pengundi begitu sahaja terutama kaum Melayu Islam.

Makanya memelihara, memperkukuhkan MN dan PN haruslah menjadi agenda utama kepada setiap parti yang bernaung di bawah kedua-dua gabungan besar ini.

Sikap saling mencurigai sesama sendiri, mencari dan mengutamakan kepentingan peribadi mestilah dibuang demi menjaga perpaduan dan kestabilan kerajaan yang berada di bawah gabungan besar ini.

Sentimen kerajaan tanpa DAP yang melekat kuat di minda rakyat harus dijadikan kayu ukur bagi mana-mana parti atau individu yang berhasrat untuk meninggalkan PN atau MN dan bergabung bersama Anwar akan merugikan individu dan parti tersebut, kerana umum tahu bahawa DAP berada di belakang Anwar. Sekiranya mereka berbuat demikian rakyat akan menghukum mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)nanti.

Konsep damai yang ditunjukkan oleh PAS dalam memacu budaya politik matang dan sejahtera demi memperkukuhkan perpaduan berdasarkan Islam sepantasnya dijadikan acuan dan panduan dalam menjaga kestabilan politik Malaysia.

Sikap toleransi sesama rakan kerjasama serta tidak mendahulukan kepentingan individu harus dijadikan barometer dalam memenangi hati pengundi bagi menghadapi PRU15 nanti.

Semoga kerajaan PN kekal stabil sebelum dan selepas PRU15.

Ingatlah rakyat Malaysia sangat mengharapkan sebuah kerajaan yang bersih, beritegriti, amanah dan prihatin kepada rakyat bukan sebaliknya.

Rakyat mendambakan politik dolusi dan bukannya politik adu domba dan fitnah menfitnah.

Islam memperkukuh perpaduan

HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Ketua Penerangan PAS Melaka – HARAKAHDAILY 27/9/2020

- Advertisement -