PRN Sabah : Kekalkan semangat muafakat

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) merakamkan ucapan tahniah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berjaya mendapat mandat rakyat Sabah bagi membentuk kerajaan yang baharu.

Advertisement

Kejayaan GRS yang diperolehi membuktikan rakyat mahukan perubahan yang lebih baik dari kerajaan lama dan sudah berasa selesa dengan suasana landskap politik baharu yang diterajui dengan semangat permuafakatan antara parti politik demi menjaga kepentingan agama, ummah dan l kestabilan politik negara.

Kejayaan PRN Sabah perlu dikekalkan dengan semangat muafakat antara parti-parti dalam GRS dalam pembentukan kerajaan baharu serta perjalanan pentadbiran yang dilakukan. Segala perbincangan yang dibuat mestilah dalam satu rundingan bersama dengan semua parti yang bermuafakat bagi terus memelihara mandat rakyat yang diperolehi dari berlakunya sesuatu pergelutan yang boleh merugikan.

Tahniah juga kepada rakyat Sabah yang matang dalam memilih. Jelas menunjukkan rakyat Sabah juga tidak mahukan suasana politik lama yang dibawa oleh Pakatan Harapan yang tidak memberikan keuntungan kepada rakyat dan negara.

Dan juga, penghargaan besar buat jentera PAS di negeri Sabah yang menunjukkan kepatuhan dalam menerima keputusan awal untuk tidak meletakkan calon serta pengorbanan dalam gerak kerja membantu memenangkan calon dalam gerak kerja muafakat politik yang dipersetujui dan dibentuk. Inilah sikap setiakawan yang dipuji dan menjadi contoh kepada semua kepada jentera parti politik yang lain.

Firman Allah SWT :

( وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰ⁠نِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ )

Maksudnya :
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah – [Surah Al-Ma’idah 2]

Sekian.

YB USTAZ DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pasir Puteh – HARAKAHDAILY 27/9/2020