Masa untuk majukan Sabah, kukuhkan perpaduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan PRN Sabah telah menunjukkan isyarat dan petunjuk jelas bahawa rakyat mahukan perubahan dan menolak parti-parti rasis dan yang memberi ruang kepada DAP.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat merasa tidak selamat dengan parti yang tumbang di tengah jalan seperti Pakatan Harapan (PH).

Malah katanya, rakyat juga tidak termakan dengan strategi gertakan oleh Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sekali gus menunjukkan beliau tidak dipercayai lagi kerana rakyat mahukan bukti.

Sebaliknya pula ujar beliau, Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menunjukkan bukti kemampuan mengemudi negara biarpun dalam kesukaran seperti pandemik COVID-19.

Menurutnya juga, walaupun PAS tidak diberikan kerusi untuk bertanding pada PRN Sabah, tetapi anggota jentera PAS telah bekerja dan keluar mengundi memenangkan parti rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“PAS menunjukkan contoh terbaik sebagai komponen PN dan GRS di Sabah dan Semenanjung. Dengan kemenangan ini bermakna ia menjadi masa untuk kita membawa perubahan dan kestabilan kepada Sabah.

“Dalam konteks Sabah yang luas, kerajaan negeri harus selari dengan Persekutuan untuk bawa lebih banyak pembangunan dan kemakmuran. Tema ‘Prihatin’ ternyata telah memenangi hati rakyat Sabah.

“Masa untuk bekerja memajukan negeri, membina pengukuhan perpaduan dalam masyarakat Sabah yang majmuk dan menghormati hak-hak rakyat dari pelbagai etnik dan kelompok,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah mengingatkan semua pihak bahawa kini adalah masa untuk bekerja melaksanakan janji-janji pilihan raya untuk kebaikan rakyat negeri Sabah.

Sanusi merakamkan tahniah kepada PAS Negeri Sabah, PN, Barisan Nasional, Parti Bersatu Sabah dan ahli-ahli GRS. – HARAKAHDAILY 27/9/2020

- Advertisement -