Kedah kempen rakyat amal norma baharu

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Rakyat Kedah diingatkan terus mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) daerah Kota Setar berakhir.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tamat PKPD bukan bermakna orang ramai sudah bebas daripada Covid-19.

Katanya virus tetap ada di mana-mana, bukan ada waktu laksana PKPD atau Temco sahaja.

Justeru itu beliau menasihatkan rakyat terus mengekalkan norma baharu dan mematuhi SOP, penjarakan sosial, memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan hand sanitizer dan tidak bersalaman sebagai langkah untuk mengekang virus itu terus merebak.

“Kena kurung ini tak seronok, itu sebab saya minta sama-sama pakat jaga SOP. Virus Covid yang melanda Kedah jenis cepat merebak. Daripada seorang boleh berjangkit kepada sepuluh orang dengan pantas.

“Sebanyak 40 peratus bergejala, mudah merebak apabila batuk atau demam, yang tidak bergejala merebak dengan sentuhan,” katanya pada sidang media di surau Al-Firdaus di Sungai Lalang, di sini semalam.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri akan menganjurkan kempen agar rakyat terus menjaga SOP dan mengenakan denda RM1,OOO kepada individu yang engkar.

“Denda RM1,OOO jangan kurangkan. Biar mereka serik dan patuh selepas ini,” ujar Muhammad Sanusi.

Bagaimanapun dalam perkembangan berkaitan PKPD secara bersasar (TEMCO) ke atas 239 penghuni, 88 kediaman di Rumah Pangsa Tongkang Yard diteruskan sehingga 7 Oktober depan.

Ini berikutan hasil saringan mendapati 94 kes positif Covid-19 di perumahan berkenaan, manakala Sekolah Kebangsaan Sungai Korok ditutup bermula 26 September sehingga 7 Oktober ini.

Selain itu 600 rumah di Zon Melor, Amanjaya dijangka tamat tempoh perintah kawalan pada 28 September ini. – HARAKAHDAILY 27/9/2020

- Advertisement -