Kerja kuat seolah-olah bertanding semua kerusi

PAS siapsiagakan jentera di semua kerusi untuk menang dan bantu rakan kerjasama

- Advertisement -

MARAN: PAS akan memastikan pertandingan satu lawan satu untuk menjamin kemenangan pada PRU15 diterjemahkan dengan gerak kerja yang bersungguh-sungguh seolah-olah bertanding tiga penjuru.

- Advertisement -

Malah, jentera juga dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan teori mencapai kemenangan mudah berdasarkan campuran undi PAS dan Umno yang menyebabkan tidak bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar menegaskan peringatan tersebut ketika merasmikan pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS DUN Chenor di Dewan Orang Ramai Kampung Jengka, di sini semalam.

Gesaan untuk bersiapsiaga itu juga peringatnya, mesti diadakan seperti PAS bertanding di semua kerusi di mana dalam konteks kerjasama dengan parti-parti lain, jentera PAS perlu membantu rakan ta’awun menjadi parti yang besar.

“Ikut perasaan, kita nak bertanding semua. Tapi bila kita bekerjasama dengan pihak lain, kita perlu menerima kenyataan bahawa bukan semua kawasan kita boleh bertanding. Apatah lagi bila kita bekerjasama menjadi sebuah parti besar.

“Sepanjang saya terlibat dengan pilihan raya, hanya PRU14 sahaja kita (PAS) bertanding di hampir semua kawasan (Parlimen). PRU-PRU lain semuanya ada tahaluf dan pembahagian kawasan. Itu kita perlu akur,” ujarnya.

Lantaran itu jugalah serunya, dalam menghadapi pilihan raya amat menuntut pengorbanan bukan sahaja tenaga, masa dan wang ringgit, bahkan juga perasaan di mana dengan memberi wala’ dan taat kepada kepimpinan.

Beliau menasihatkan jentera agar bersedia menerima sebarang keputusan parti sama ada diarahkan bertanding mahupun sebaliknya kerana wala’ dan taat adalah aset paling berharga menjadikan PAS parti paling stabil selama ini.

“Perlu difahami, wala’ dan taat mempunyai maksud berbeza. Wala’ ialah kesetiaan dan kecintaan. Sedangkan taat adalah kepatuhan kepada arahan. Taat adalah pelengkap kepada wala’. Orang taat tak semestinya dia wala’. Tapi orang yang wala’ pasti taat dan patuh kepada arahan,” jelasnya.

Beliau juga meminta ahli PAS supaya bersabar dan istiqamah dengan tugas yang diberikan dengan menerangkan betapa ianya menghadirkan ganjaran pahala sangat besar dari sisi Allah S.W.T.

Hadir sama ialah Pemangku Yang DiPertua PAS Kawasan Maran, Ustaz Ramli Awang Abd Rahman dan ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak yang juga Naib Yang DiPertua PAS Maran.

Juga ADUN Luit, Sufian Abd Jalil merangkap Pengarah Jentera Pilihan Raya Parlimen Maran dan Pengarah Jentera Pilihan Raya DUN Chenor, Rozlan Yaakub. – HARAKAHDAILY 26/9/2020

- Advertisement -