Yadim ketengah program dialog harmoni

KOTA BHARU: Kerajaan melalui Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) mencetus program dialog harmoni bagi memberi wajah baru terhadap usaha dakwah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Senator Dr Zulkifli Mohamad al Bakri berkata, Islam sesuai sepanjang zaman dan tempat.

Advertisement

Bagaimanapun katanya pelaksanaan perlu bijaksana dan penuh hikmah agar sifat Islam yang indah dapat disampaikan.

“Dialog ini kita mahu Islamphobia dihapuskan, Islam tidak dianggap pengganas, tidak menzahirkan permusuhan kepada sesiapa pun,” katanya kepada media selepas merasmikan hari terbuka Yadim di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Exco Kerajaan Negeri Dr Md Yusnan Yusoff dan Yang Dipertua Yadim, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi.

Pada program selama dua hari itu diadakan pelbagai program dan aktiviti. Petang ini diadakan dialog di Dewan Perpustakaan Awam Kelantan yang dipengerusikan Dr Johari Yap bersama wakil-wakil agama di Malaysia.

Islam diwakili oleh Tuan Kamarul Arief Tuan Soh; Kristian, Farther Francis Andrew; Buddha, Cen Poh Chen dan Hindu, Vijayakumar Perumal.

Dr Zulkifli juga berkata, program dialog membolehkan rakyat memahami titik persamaan antara agama.

“Apa yang boleh untuk kita sama-sama bergerak memahami tentang agama dan kita mempamerkan pula akhlak serta muamalat yang baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2020