Patuhi saranan KKM, ikut SOP elak penularan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dilihat berkemungkinan besar untuk berlakunya penularan wabak Covid-19, ia susulan daripada kepesatan dan himpunan tempat-tempat berkempen, kata Pengamal Perubatan Berdaftar, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung peningkatan kes Covid-19 yang berlaku akhir-akhir ini khususnya melibatkan negeri yang sedang menghadapi pilihan raya.

- Advertisement -

Sementara itu, katanya, kes yang banyak berlaku di negara ini turut melibatkan warganegara asing yang masuk ke negeri Sabah.

Oleh yang demikian, beliau mengharapkan supaya pihak kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat mengekang berlakunya perebakan wabak ini dengan lebih ketat lagi.

“Kawalan kepada mereka yang datang mengundi perlu dibuat dengan mengambil kira penjarakan fizikal dan tidak berlaku himpunan beramai-ramai di tempat mengundi.

“Langkah ini pastinya tidak mudah, jadi perlulah penglibatan petugas-petugas yang lebih ramai daripada biasa,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat negeri Sabah untuk turun beramai-ramai mengundi dengan menjaga segala Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu mengelakkan diri dari bersentuhan termasuk melagakan anggota badan.

“Sebagai ganti bersalaman, cukup sekadar meletakkan tangan di dada untuk menunjukkan tanda hormat. Mereka juga perlu mengamalkan disiplin kendiri dan elakkan diri daripada aktiviti berkumpulan seperti himpunan beramai-ramai.

“Sentiasa amalkan penjarakan fizikal dan pakai pelitup muka sepanjang berada di tempat mengundi. Sentiasa sanitize tangan dan mereka haruslah mandi sejurus pulang ke rumah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/9/2020

- Advertisement -