PAS Kluang sedia letak calon di DUN Mahkota

KLUANG: Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Kluang telah mengadakan Majlis Makan Malam Amal bagi mengumpulkan dana untuk menghadapi PRU15 Dewan Orang Ramai Kampung Tengah, di sini kelmarin.

Advertisement

Majlis ini telah mendapat dukungan penyertaan dari akar umbi PAS Cawangan-cawangan termasuk sokongan dari Pertubuhan Anak Kelantan Perantauan (PERAKAN) Daerah Kluang.

“Sebarang pertandingan di mana-mana DUN ataupun Parlimen , semuanya akan diputuskan oleh pimpinan di peringkat tertinggi. Harapan saya adalah supaya jentera kita berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dan pada bila-bila masa,” ujar Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parlimen (JPrP) Kluang Zulkifli Mat.

Yang Di Pertua PAS Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil di dalam ucapannya telah menyatakan kesediaan PAS Kluang untuk meletakkan calon bagi kerusi DUN N.29 Mahkota pada PRU15 nanti.

“Jawatankuasa kerja PAS Kluang yang bermesyuarat baru-baru ini telah membuat keputusan untuk meletakkan calon di DUN Mahkota yang telah ditandingi oleh PAS sejak tahun 2004 lagi.

“Perkara ini akan disampaikan kepada peringkat Badan Perhubungan PAS Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Program yang menghimpunkan kepimpinan dan ahli di peringkat PAS Cawangan, para veteran serta para penyokong itu nyata membangkitkan semangat untuk kembali memperkukuhkan PAS di Kluang.

Program telah dirasmikan oleh ADUN Bukit Pasir, Kapt (B) Najib Lep yang turut melancarkan kempen melanggan e-Harakah selain majlis diserikan dengan persembahan Dikir Barat oleh kumpulan Sri Perantau.

Kumpulan ini dipimpin oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Kluang, Mohd Nor Mohamad yang juga merupakan Ketua PERAKAN Daerah Kluang.

Turut hadir di dalam majlis ini adalah Ketua Kampung Tengah, Shamsi Wahid serta para penyumbang yang menjayakan majlis ini. – HARAKAHDAILY 25/9/2020