LKK N9 adakan Ziarah MOSWAY di Jempol

JEMPOL: PAS Negeri Sembilan telah mengadakan Ziarah MOSWAY iaitu lawatan kebajikan ke atas golongan miskin, orang kelainan upaya, sakit, warga emas, armalah dan anak yatim, kelmarin.

Advertisement

Kunjungan diketuai Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Negeri Sembilan, Ishak Omar bersama Pengerusi LKK Kawasan Jempol, Bibah Tumin dan jawatankuasanya diadakan sekitar Parlimen ini.

Antara diziarahi itu adalah bekas Imam Masjid Kuala Jempol, Ustaz Musa Saleh dan isterinya, Meriam Zakaria yang merupakan ibu bapa kepada pendakwah tanah air, Dato’ Ustazah Norhafizah Musa.

Dalam usia 85 tahun, Ustaz Musa tetap ceria dan mesra berceloteh mengenai pengalamannya dalam usaha kebajikan selain sempat memberitahu gembira dirinya melihat simbol bulan dibawa pihak LKK.

Beliau juga sempat berpesan, sungguhpun tidak mengenali mereka yang datang menziarahinya itu, tetapi berharap mereka datang mengadakan solat jenazah atas dirinya apabila beliau sudah tiada nanti.

“Saya ingat, anak sulung saya yang akan uruskan kematian saya nanti, tapi sebaliknya kami yang uruskan jenazah anak kami (dahulu),” ujarnya merujuk arwah Ustazah Norhayati Musa anaknya.

Rombongan LKK dalam lawatan dari rumah ke rumah itu turut mengambil maklum perkembangan kehidupan golongan MOSWAY tersebut dan menyampaikan sedikit sumbangan keperluan dapur.

Selain menyerahkan amanah para dermawan, ianya bertujuan meringankan beban dan berharap mereka itu tidak merasa tersisih, selain meluaskan lagi agenda kebajikan. – HARAKAHDAILY 25/9/2020