Jangan rasa selesa dengan kemenangan

Jentera diseru teruskan kerja keras pertahan kemenangan

- Advertisement -

PAYA BESAR: Jentera Pilihan Raya PAS DUN (JPRD) Panching diseru untuk terus berusaha mempertingkatkan gerak kerja bagi mempertahankan kemenangan dalam PRU15 akan datang.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Ustaz Tarmizi Yahya berkata, jentera tidak seharusnya terus selesa dan leka dengan kemenangan yang telah dikecapi, sebalik terus bekerja sepenuh hati dan bersungguh-sungguh.

“(Ianya) bagi memastikan kepercayaan rakyat kepada PAS adalah tepat dalam mewakili suara dan kebajikan mereka,” ujar beliau menyampaikan amanat dalam Majlis Pelancaran JPRD Panching di Pusat Tarbiah Darussalam, di sini malam tadi.

Beliau turut memperingatkan semua anggota untuk sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri bagi menjadikan jentera PAS sentiasa dalam pergantungan dan pertolongan Allah.

Beliau yang berucap di hadapan wakil-wakil Unit Daerah Mengundi (UDM) dalam DUN Panching itu juga sempat menggariskan empat teras utama kemenangan jentera PAS dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita sebagai penggerak jentera PAS perlu sentiasa berpegang kepada empat teras utama kejayaan perjuangan kita ini iaitu berdisiplin, beramal, bertawakal dan ukhuwah.

“Jika kita terus beristiqomah dengan empat teras utama ini, in sya Allah kemenangan kita di DUN Panching ini akan dapat kita pertahankan”, ujar beliau yang juga merupakan ADUN Panching merangkap Yang DiPertua PAS Paya Besar. – HARAKAHDAILY 25/9/2020