TRW Kelantan FC bakal miliki pusat latihan

Foto RIZAL TAHIR

BACHOK: Pusat latihan The Red Warriors (TRW) bertaraf antarabangsa bernilai RM5 juta hingga RM10 juta akan dibina di Kelantan.

Pemilik pasukan Kelantan TRW Norizam Tukiman berkata, ia bertujuan untuk mengembalikan pasukan itu sebagai bintang bola sepak di negara ini.

Advertisement

Katanya, pusat terbabit akan dilengkapi beberapa prasarana sukan antaranya gimnasium, bilik pemulihan pemain, lampu limpah, kafeteria dan padang.

“Pusat berkenaan akan dibina mengikuti spesifikasi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Sehingga sekarang saya sudah mengenal pasti tiga lokasi di sekitar Kota Bharu.

“Pembinaan pusat latihan itu antara langkah pertama selepas mengambil alih pasukan Kelantan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran jersi baharu pasukan TRW di Sudara Beach Resort di sini, malam tadi.

Menurutnya juga pusat itu dilengkapi kemudahan bilik pemulihan dan tempat mandian ais setelah mendapat pandangan Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah.

Kata beliau juga pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Fakulti Sains Sukan bersama Universiti Sains Malaysia (USM) berkaitan aspek teknik dan taktikal.

Selain itu mengadakan pertemuan dengan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tengku Mahkota Johor untuk dapatkan tips.

“Hasrat saya untuk melihat Kelantan kembali di puncak dalam sukan bola sepak sebagaimana sebelum ini,” katanya.

Pada program itu Norizam melancarkan tiga jersi rasmi pasukan TRW Kelantan FC.

Warna merah dipilih sebagai jersi tuan rumah dan warna hitam jersi perlawanan (away). TRW pada musim ini berdepan baki tiga lagi perlawanan. – HARAKAHDAILY 24/9/2020