Pakar geostrategi persoal dakwaan Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa beliau mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk mengambil alih tampuk pemerintahan, menimbulkan pelbagai persoalan sama ada beliau mampu menggugat Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

Kerajaan PN akan terus memerintah selagi Presiden PKR itu tidak dapat membuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Rakyat yang beliau benar-benar mempunyai angka keramat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan PN.

Bagi pakar geostrategi, Azmi Hassan, walau apapun percaturan Anwar, kata putus akhir mengenai sebarang perubahan pada tampuk pemerintahan bukan terletak di tangan beliau, tetapi kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata Agong boleh memutuskan peralihan kuasa dilakukan tanpa pembubaran Parlimen atau pilihan raya umum jika Parlimen dibubarkan.

“Memang benar jawatan Perdana Menteri adalah bergantung kepada sokongan yang diperoleh melalui Dewan Rakyat. Jika benar dakwaan yang beliau telah mendapat sokongan majoriti, ini bermakna Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah kehilangan sokongan Ahli Dewan Rakyat.
 
Mengenai desas-desus bahawa Anwar mempunyai sokongan Ahli Parlimen Umno, Azmi berkata beliau tidak pasti mengenai perkara itu memandangkan ia akan menimbulkan kekecewaan akar umbi Umno kerana mana mungkin parti itu boleh bekerjasama dengan DAP yang selama ini dianggap seteru.

“Perlu diingat mengapa Ahli Parlimen Umno sokong Muhyiddin adalah untuk mengelak DAP dalam kerajaan.

“Oleh kerana DAP sudah menyatakan sokongan kepada Anwar,  maka agak pasti DAP akan turut serta dalam kerajaan Anwar. Ini sudah tentu menyukarkan penerimaan akar umbi Umno terhadap keputusan Ahli Parlimen Umno sokong Anwar,” katanya. 

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan semalam mengesahkan menerima maklumat terdapat ramai ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan terhadap Anwar dan beliau menghormati pendirian mereka itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib berkata masyarakat secara umumnya tidak boleh menerima bulat-bulat dakwaan Anwar mendapat sokongan membentuk kerajaan baharu.
 
Ini kerana dakwaan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu dengan melihat kepada akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani barisan Ahli Parlimen.

“Pada saya apabila Anwar mengatakan telah mendapat sokongan majoriti, itu hanyalah kata-kata. Perlu dibuktikan dengan beberapa cara termasuk melihat kepada SD atau pengumuman secara jelas daripada Ahli Parlimen. Jadi, kita tidak perlu menerima bulat-bulat kenyataan beliau lagi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui pengumuman dibuat Anwar itu mampu mempengaruhi proses Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu ini memandangkan pengundi di negeri itu perlu memilih gabungan yang disenangi Kerajaan Persekutuan demi masa depan Sabah.

“Hubungan antara Persekutuan dan negeri memberi impak besar dalam pembangunan di Sabah selain melihat bagaimana keakuran Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Sementara itu, belum ada pihak dalam PN yang menyatakan sokongan kepada Anwar. – BERNAMA

- Advertisement -