Menang Sabah janjikan rakyat menang besar PRU15

- Advertisement -

KEMPEN Pilihan Raya Negeri Sabah kali ke-16 sedang rancak diadakan dan hari Sabtu, 26 September ini adalah merupakan hari penentu iaitu hari mengundi buat 1,124,598 pengundi negeri Sabah yang berdaftar.

- Advertisement -

Pada tengah malam berkenaan kita dijangka mengetahui apakah parti WARISAN Plus di bawah kepimpinan Tan Sri Shafie Apdal, akan kekal memerintah Sabah atau rakyat Sabah akan memilih parti dan blok yang pro-Kerajaan Persekutuan sebagai parti yang memerintah negeri ini.

Sementara itu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan berkata jika parti-parti pro-Kerajaan Persekutuan menang dan membentuk kerajaan baharu di Sabah, tidak mustahil Pilihan Raya Umum Parlimen kali ke-15 akan diadakan dalam waktu terdekat.

Apa penting PRN Sabah ini?

Buat Barisan Nasional dan Perikatan Nasional serta PBS, PRN ini telah melihatkan betapa semua pihak yang walaupun dikejutkan dengan pilihan raya awal atas permintaan Ketua Menteri itu, mampu bermuafakat dalam waktu yang sangat singkat bagi membentuk satu barisan kekuatan politik pro-Kerajaan Persekutuan untuk menghadapi tentangan WARISAN dan sekutunya.

Kemampuan semua pihak bersetuju membentuk Gabungan Rakyat Sabah atau GRS bagi menentang WARISAN Plus cukup mengkagumkan. Pada peringkat awal kita melihat BN yang ditunjangi Umno dan Perikatan Nasional yang diterajui BERSATU di Sabah seakan sukar berpakat dan bermuafakat bagi menghadapi cabaran PRN ini.

Walaubagaimanapun akhirnya atas kematangan dan pandangan jauh semua pihak yang mengenepikan agenda peribadi masing-masing sebaliknya fokus untuk mengalahkan WARISAN Plus, satu keputusan yang cukup bijak iaitu membentuk GRS telah disepakati.

GRS yang dianggotai BN, PN dan PBS itu telah bersetuju melancarkan Akujanji GRS yang merupakan ikrar semua parti-parti ini buat rakyat Sabah kiranya mereka menang dan diberi mandat dalam PRN ini.

Pembentukan GRS ini adalah satu sejarah yang kiranya kekal kuat dan utuh ia sehingga 26 September ini tidak mustahil akan mampu mengalahkan WARISAN dan seterusnya merampas Kerajaan Negeri Sabah.

Sekiranya ini berlaku di Sabah sudah pasti ia bakal mendorong terbentuk pula suatu wadah permuafakatan parti di peringkat Persekutuan yang sudah pasti jauh lebih besar dan perkasa. Dan ianya nanti sudah tentu bakal mampu menguasai Kerajaan Persekutuan dengan lebih besar dan kuat lagi.

Inilah yang sangat digeruni musuh-musuh politik blok Kerajaan Persekutuan, sebagaimana gelabah dan gentarnya Shafie Apdal dalam menghadapi PRN ini.

Kerana itu laporan dari Sabah menunjukkan yang Shafie terpaksa meraih simpati rakyat dengan menjaja politik adu-domba dan kebencian. Kempennya cuba menggambarkan yang Sabah kononnya  selama ini dianak-tirikan, hasil dan harta kekayaan Sabah kononnya dipunggah untuk kegunaan negeri-negeri di Semenanjung semata-mata sedang rakyat Sabah dibiarkan menderita.

Beliau dan partinya menyangka dengan mengapi-apikan semangat anti-Semenanjung dan anti-Kerajaan Persekutuan seperti ini maka rakyat Sabah boleh terpedaya dan seterusnya membenci GRS dan memenangkan beliau.

Tidak dapat dinafikan Shafie seorang pemidato hebat dan mungkin mampu membakar semangat mereka yang hadir mendengar kempennya, kerana itu saban malam kempennya mampu menarik kehadiran ramai. Akan tetapi dari pengalaman kita kehadiran besar-besaran dalam kempen dan ceramah bukan jaminan kemenangan buat mana-mana pihak.

Mungkin Shafie dan WARISAN tertipu dengan kehangatan itu. Soalnya termakankah kali ini rakyat Sabah dengan politik sebegini?

Rakyat Sabah bukan baru hari ini berpolitik, mereka sudah berpilihanraya negeri masuk kali ke-16 dengan menyaksikan terbentuk dan lahirnya berbagai jenis politik dan pendekatan. Sabah pernah melalui zaman ketegangan dan rusuhan, zaman porak-peranda dan ada juga zaman kestabilan dan keamanan.

Hakikatnya apa mereka inginkan hari ini sesungguhnya adalah jaminan kehidupan yang lebih baik. Mereka mahukan kehidupan yang lebih selesa, mudah mencari rezeki, pembangunan yang seimbang dan paling penting keamanan dan kesejahteraan. Dan rakyat Sabah saya yakin tahu dari pengalaman mereka yang luas, ini semua hanya mampu dicapai kiranya kerajaan negeri selari dan tidak berseteru dengan Kerajaan Persekutuan.

Rakyat Sabah tidak akan bersetuju untuk berbalah dengan Kerajaan Persekutuan apatah lagi berpisah sebagaimana Singapura dahulu.

Kerana itu kemenangan buat GRS terlalu penting dan jika ia berlaku, bukan sahaja rakyat Sabah bakal meraih manfaat dan keuntungan, malah diyakini Muafakat Nasional di Semenajung Malaysia dan GPS di Sarawak juga akan semakin diyakini dan bakal meraih kemenangan besar.

Politik yang matang yang bersungguh mahu membela dan memperjuangkan nasib rakyat dan masa depan negara adalah politik baharu yang dituntut rakyat hari ini. Bukan lagi politik adu-domba, pecah-perintah, kedaerahan, kenegerian, perkauman apalagi ekstrem dan chauvinis seperti yang diamalkan sesetengah parti.

Platform yang terbaik untuk membawa agenda politik baharu ini sudah pastilah melalui keberanian dan keikhlasan semua pihak menjuarai inisiatif perpaduan dan permuafakatan parti-parti politik utama dalam negara.

Malaysia memerlukan politik seumpama ini demi memastikan rakyat berbilang agama dan bangsanya dapat hidup bersama dan kedualatan negara terus terjamin.

Parti-parti politik memikul tanggungjawab bersatu dan tidak bersengketa demi membina semula negara khususnya dalam suasana COVID-19 ini. Persengketaan hanya akan memudharat dan merugikan semua dan akhirnya negara yang menjadi mangsa dan rakyatnya sengsara.

Kerana itu bagi Muhyiddin kemenangan di Sabah bakal mendorong beliau memohon membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum Parlimen lebih awal. Beliau yakin mendapat mandat yang lebih besar kerana parti-parti politik utama negara khasnya BN, PAS, BERSATU, GRS dan GPS sudah bersedia bermuafakat.

Permuafakatan besar ini nanti akan mampu menjana kekuatan dan merobohkan apa sahaja saki-baki blok pembangkang khasnya Pakatan Harapan. PKR, DAP dan PAN bakal kecundang di seluruh negara tidak lagi berkojok sebagaimana PRU14 dahulu.

Buanglah undi dengan bijak dan waras sahabat-sahabat sekalian, nasib dan masa depan ummah di tangan anda semua.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 24/9/2020

- Advertisement -