Jadikan PRN Sabah satu titik perubahan

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Jadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah satu titik perubahan ke arah Sabah yang lebih baik di masa hadapan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan pandemik COVID-19 yang masih wujud, Sabah perlukan satu kerajaan negeri yang kuat yang mempunyai ikatan dengan kerajaan Persekutuan.

“WARISAN tak menjadi sebahagian Perikatan Nasional (PN – kerajaan Persekutuan)… ia tidak berada dalam mana-mana kerajaan kecuali kerajaan negeri.

“Kalau di sini, rakyat Sabah pilih PN bersama Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Gabungan Rakyat Sabah yang kita tubuhkan, maka terbentuk kerajaan peringkat negeri yang sama dengan kerajaan Persekutuan. Jadi dengan berbuat demikian kita dapat membantu Sabah, kita boleh bekerjasama untuk kebaikan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra di DUN Luyang, di sini, malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta calon PN-SAPP untuk DUN Luyang Gee Tien Siong dan calon PN-MCA bagi DUN Likas Dr Chang Kee Ying.

Tiba di Sabah selepas mengumumkan Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (Kita Prihatin) bernilai RM10 bilion di Putrajaya bagi membantu rakyat yang berhadapan masalah ekonomi disebabkan pandemik COVID-19, Muhyiddin menegaskan ia bukan diumumkan disebabkan PRN Sabah.

“Ini bukan soal Sabah ada pilihan raya, bukan untuk Sabah sahaja, tetapi untuk seluruh negara supaya keadaan akan bertambah lebih baik, hidup mereka ini tidak akan jadi susah dalam keadaan yang memang susah nak cari makan, berniaga pun tak boleh untung, banyak masih rugi.

“Saya tahu, tidak perlu beritahu saya kerana sebagai Perdana Menteri saya tahu apa yang berlaku di negara kita. Yang penting apa yang kerajaan perlu lakukan untuk membantu rakyat kita dan saya rasa kerajaan PN telah berusaha sedaya upaya membantu rakyat dalam tempoh tujuh bulan ini,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa bantuan semalam diumumkan selepas beliau mendengar rintihan rakyat, walaupun kerajaan telah pun membelanjakan RM290 bilion sebelum ini di bawah pakej rangsangan ekonomi. 

“Saya harap dengan langkah begini, ekonomi negara dan Sabah akan bangkit dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi, pada tahun depan kita akan lihat satu kadar pemulihan yang agak lebih cepat lagi.

“Sebab itu, PRN ini adalah permulaan apa kerajaaan mampu buat untuk tempoh akan datang,” katanya.

Muhyiddin juga tidak mahu kedatangannya ke Sabah dari Semenanjung disalah anggap rakyat negeri itu sebagai untuk menjajah.

“Bila saya jajah Sabah? Ini muka pun bukan muka penjajah. Kita nak bantu, bukan baru, sejak zaman berzaman, sejak Sabah menjadi sebahagian daripada Persekutuan… kita telah bekerjasama dan bekerja serapat mungkin untuk mencari jalan dan cara untuk membangunkan negeri.

“Mungkin Kerajaan Sabah sekarang kata kita tidak perlukan Kerajaan Persekutuan, kita Sabah boleh melakukannya sendiri, ya ok…tetapi kita mempunyai sistem yang dipanggil Persekutuan yang kebanyakan perkara dalam Kerajaan Persekutuan bekerjasama supaya negeri-negeri di Malaysia boleh membangun dengan pantas,” katanya.

Menekankan berkali-kali kepentingan ikatan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, Muhyiddin turut secara berseloroh berkata dalam keadaan masalah ekonomi negara sekarang, lebih baik Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berada sebaris dengannya.

“Saya tak nafikan Shafie kawan baik saya… (Mohd Shafie) sudah buat apa yang dia sudah buat untuk Sabah… tetapi lebih baik kalau dia satu baris sama saya, tetapi malam ini dia tak ada sini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -