Anwar sengaja undang keresahan rakyat

ALOR SETAR: Tindakan Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan menubuh kerajaan baharu dianggap sebagai perbuatan terdesak.

Ketua Pemuda PAS Kedah Ustaz Nurul Amin Hamid berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu mendahului perlembagaan dan menafikan hak Perdana Menteri serta peranan Yang di-Pertuan Agong.

Advertisement

Katanya, pengumuman mempunyai sokongan majoriti tanpa ada bukti jelas menggambarkan suatu tindakan yang dilakukan benar-benar terdesak.

“Lebih teruk lagi ia boleh dianggap sebagai satu bentuk penipuan bagi menimbulkan keresahan rakyat dan menggugat kestabilan siasah di negara ini.

“Tindakan pemimpin PKR itu juga secara tidak langsung memberi kesan terhadap ekonomi negara,” katanya di sini.

Semalam Anwar dilapor mendakwa memiliki sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu. – HARAKAHDAILY 24/9/2020