Anwar disokong DAP dan PAN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) hari ini menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu selepas Presiden PKR itu mendakwa mendapat sokongan mencukupi Ahli Parlimen. 

- Advertisement -

Kenyataan DAP dan PAN itu susulan pengumuman Anwar pada sidang media tengah hari tadi bahawa beliau mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ Ahli Parlimen untuk berbuat demikian.

Dalam kenyataannya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kesemua 42 Ahli Parlimen  DAP menyokong Anwar untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

“Selaras dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan, 42 ahli parlimen DAP akan memberikan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau cukup bilangan untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Terdahulu pada sidang media itu, Anwar berkata beliau juga telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka sedang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.
 
Sementara itu, Presiden PAN Mohamad Sabu berkata parti tersebut meletakkan kepercayaan kepada Anwar sebagai Pengerusi PH dan mengesahkan kesemua 11 Ahli Parlimen PAN memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

“Kami mengambil maklum pengumuman yang dibuat Anwar hari ini bahawa beliau memperoleh sokongan majoriti ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

“Seperti yang diputuskan oleh Majlis Presiden PH sebelum ini, PAN mengesahkan bahawa semua 11 ahli parlimen menyokong sepenuhnya kepimpinan Anwar sebagai Pengerusi PH dan memberi sokongan penuh kepada beliau,” katanya dalam kenyataan.

Selain Mohamad (Kota Raj), 10 lagi Ahli Parlimen PAN ialah Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (Parit Buntar), Khalid Samad (Shah Alam), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), dan Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena).
Selain itu, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (Temerloh), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (Lumut), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat) dan Datuk Dr Hasan Bahrom (Tampin). – BERNAMA

- Advertisement -