Aku, Dr Dzulkifly dan Anwar

Imbasan 16 September 2008

PADA hari terakhir bulan Julai 2008, Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah Ismail telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Ia bertujuan untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil. Dalam pilihan raya kecil pada 26 Ogos 2003 itu, Anwar Ibrahim berhasil memenangi kerusi Permatang Pauh dengan majoriti besar 15,671 undi.

Advertisement

Keesokannya, Anwar Ibrahim segera mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Rakyat Malaysia begitu teruja dengan kemunculan semula Anwar Ibrahim di Parlimen. Dengan tidak semena-mena Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa sebuah kerajaan baharu yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat (PR) akan dibentuk pada 16 September 2008. Dalam kalangan pimpinan PAS berpecah dua. Satu kumpulan mendukung idea Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang supaya dibentuk Kerajaan Perpaduan (UG) untuk menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara. Satu kumpulan lagi melihat inilah masanya regim Umno/BN mesti dihancurkan dan mereka menyokong gagasan Kerajaan 16 September yang ditaja oleh Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar Ibrahim, dia telah mendapat sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. “I get the numbers,” kata Anwar Ibrahim sebagai satu ugutan politik kepada Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, sang Perdana Menteri. Teori Anwar Ibrahim cukup mudah. Dia mendakwa telah dapat mempengaruhi atau ‘membeli’ sokongan 30 Ahli Parlimen BN. Dalam Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008, PR mendapat 82 kerusi, BN pula mendapat 140 kerusi. Kemudian dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, PAS berhasil merampas kerusi BN. Ia menjadikan kedudukan terkini 83/139 di dewan yang mempunyai 222 kerusi itu.

Anwar Ibrahim mendakwa 30 wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak telah bersetuju menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri. Bagi Anwar Ibrahim, dengan 30 sokongan itu, PR akan menguasai majoriti di Dewan Rakyat. PR mempunyai 83 kerusi, ditambah 30 menjadi 113 kerusi. Sedangkan BN yang memiliki 139 kerusi, kehilangan 30 kerusi, merosot kepada 109 kerusi. Dengan sifir yang mudah ini, Anwar Ibrahim menguar-uarkan bahawa kerajaan baru akan dibentuk pada 16 September 2008.

Ketika keadaan politik sedang hangat dengan agenda Kerajaan 16 September ini, pada suatu petang saya bersembang dengan Dr Dzulkifly Ahmad, bekas Menteri Kesihatan yang ketika itu adalah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP). Pejabat kami bersetentangan. Di sebelah pejabat saya ialah Pejabat Arwah Ustaz Wan Abdul Rahman Latif, Pengarah Center for Election Reforms and Initiative (CERI). Saya bersembang dengan Dr Dzulkifly Ahmad di meja diskusi di hadapan pejabat kami.

Saya bertanya Dr Dzulkifly mengenai Kerajaan 16 September, “Enta percaya ke Anwar boleh guling Kerajaan BN 16 September ni?”

“Ya,” tegas Dr Dzulkifly dengan yakin sekali.

“Enta tau ke siapa yang 30 orang nak melompat tu?” asak saya kepada Pengarah PPP itu.

“Anwar tak beritahu lagi. Tapi banyak dari Sabah dan Sarawak,” jelas Dr Dzulkifly.

“Kalau belum ada senarai, macam mana enta yakin sangat?” tanya saya lagi.

“Anwar kata senarai dah ada,” jawab Dzulkifly yang ketika itu adalah merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor.

“Enta dah tengok ke senarai tu?” saya terus menekan.

“Dah,” ringkas sahaja jawapan Dr Dzulkifly.

“Siapa orang tu?” soalan saya berpatah balik kepada soalan asal.

“Hari tu, Ana tanya Anwar tentang senarai 30 orang tu. Anwar kata ada. Ana minta tengok. Anwar tunjuk senarai kat skrin laptop dia,” kali ini Dr Dzulkifly mula bercerita panjang.

“Jadi enta lihatlah senarai tu. Siapa orangnya?” saya terus mendesak.

“Sebenarnya Anwar tunjuk skin tu sekejap je. Dia pusing skrin laptop tu kat Ana, sebelum Ana sempat baca, dia pusing balik. Jadi Ana tak tau siapa orang tu. Tapi Anwar kata ada 30 orang,” Dr Dzulkifly mula mengaku bahawa dia sebenarnya ditunjukkan satu ‘senarai gelap’ di skrin laptop, tanpa dia sendiri sempat melihat, apatah lagi membacanya.

” Oooo gitu,” saya faham maksudnya.

Ketika saya bangun dari meja menuju ke bilik pejabat saya, tergetus di dalam hati, “Bodoh juga rupanya Pengarah PPP. Ingat profesional sangat. Rupanya tak reti politik. Buta-buta je kena tipu dengan Anwar.”

Petang esoknya, saya masuk ke bilik Pengarah CERI. Saya bersembang dengan Ustaz Wan Abdul Rahman Latif mengenai politik Anwar Ibrahim dan kisah Dr Dzulkifli yang kami sembangkan semalam. Ketika Dr Dzulkifly mati-mati percayakan ‘penipuan’ Anwar Ibrahim itu, kami berdua mengambil sikap percaya bahawa Anwar Ibrahim telah menipu.

Itulah Anwar Ibrahim dalam pengalaman politik saya.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 24/9/2020