Tolak tindakan jejas kestabilan politik

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru rakyat menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan dengan baik pada masa ini.

Perdana Menteri berkata apa yang perlu adalah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan rakyat, supaya lebih banyak inisiatif memulihkan ekonomi dan membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya ingin mengajak saudara dan saudari sekalian supaya bersama-sama dengan saya dan rakan-rakan dalam Kerajaan Perikatan Nasional untuk mengemudi negara dalam keadaan kita masih berhadapan dengan krisis ekonomi dan kesihatan pada masa ini.

Advertisement

“Pengumuman yang saya buat pada hari ini menandakan Kerajaan Perikatan Nasional mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian.

“Kita cuba sedaya upaya untuk membantu rakyat menghadapi detik yang sukar ini,” katanya dalam pengumuman khas Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN) yang disiarkan secara langsung hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berharap rakyat kekal istiqamah dalam mengamalkan penjagaan kendiri dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk memastikan semua pihak terlindung daripada wabak COVID-19.

“Selama enam bulan yang lepas telah kita harungi tempoh yang sukar. Alhamdulillah, kita masih dapat bertahan,” katanya.

Beliau berkata setiap tindakan boleh menentukan bukan sahaja keselamatan diri sendiri tetapi juga keselamatan orang lain seperti anak-anak, ibu bapa, saudara mara, rakan-rakan serta masyarakat sekeliling.

Jelas Perdana Menteri, COVID-19 dan kesan wabak itu ke atas kehidupan manusia tidak membezakan antara kaum, agama atau fahaman politik kerana semua pihak terkesan dengannya tanpa ada yang terkecuali. 

“Kita tidak boleh mengharapkan bantuan dari luar kerana negara-negara lain juga sedang bergelut menyelesaikan masalah mereka sendiri. Kita hanya dapat bergantung kepada sesama kita dalam sebuah keluarga besar rakyat Malaysia. Semangat ‘kekitaan’ inilah yang kita mahukan. Bak ungkapan yang sering diucapkan, ‘Kita Jaga Kita’.

“Saya yakin dan percaya kepada kekuatan semangat kita sebagai rakyat Malaysia. Marilah kita bersama-sama mendoakan kemakmuran negara kita dan kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya. – BERNAMA