Tidak jatuh kerajaan sekadar pembangkang isytihar

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sesebuah kerajaan tidak akan tumbang dengan hanya membuat pengisytiharan seperti yang dilakukan Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sebaliknya ia perlu melalui kaedah tertentu.

- Advertisement -

“Kerajaan tak tumbang kalau hanya buat pengisytiharan macam itu. Ada kaedahnya, bukan hanya isytihar terus tumbang.

“Dahulu ketika nak lantik (Tun) Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pun, dia (Anwar Ibrahim) beritahu dah cukup bilangan, naik bas ramai-ramai ke Istana Negara tetapi yang berlaku sebaliknya,” ujarnya kepada media selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim hari ini.

Hari ini Anwar memanggil sidang media khas dengan mendakwa mempunyai majoriti meyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu.

Namun beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, isu pembubaran dewan terserah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Perdana Menteri ada dua pilihan, kalau betul-betul dia sudah kehilangan sokongan ahli parlimen maka dia perlu meletak jawatan atau menghadap Yang di-Pertuan Agong supaya dibubarkan parlimen, itu senarionya,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -