RUU Langkah Sementara COVID-19 diluluskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Langkah-langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 yang bersifat menyokong inisiatif pemulihan ekonomi oleh kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Rang undang-undang yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Shabudin Yahaya itu diluluskan dengan suara terbanyak Ahli Dewan Negara selepas bacaan kali ketiga. 

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Shabudin berkata tiada individu yang diambil tindakan muflis dalam tempoh negara dilanda penularan COVID-19.

- Advertisement -

“Ini kerana dalam tempoh tersebut kita istilahkan sebagai ‘freeze’. Malah, bank-bank juga tidak ambil sebarang tindakan, dan dalam keadaan tersebut kita harap ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan,” katanya.

RUU itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah sementara untuk mengurangkan kesan COVID-19, termasuk mengubah suai 16 perundangan iaitu Akta Had Masa 1953; Ordinan Had Masa Sabah dan Ordinan Had Masa Sarawak.

Akta lain ialah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948; Akta Insolvensi 1967; Akta Sewa Beli 1967; Akta Perlindungan Pengguna 1999; Akta Distres 1951; Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966; Akta Perhubungan Perusahaan 1967; Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981; Akta Pengangkutan Awam Darat 2010; Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987; Akta Mahkamah Kehakiman 1964; Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1955. – BERNAMA

- Advertisement -