Restu ibu bapa rahsia kejayaan Maryam Mokhtar

- Advertisement -

NILAI: Seorang penerima Anugerah Abqari Perdana 2019, Maryam Mokhtar menyifatkan kejayaannya memperoleh anugerah itu adalah hasil kerja keras dan doa restu daripada ibu bapanya.

Maryam, 17, merupakan antara dua penerima anugerah itu yang diraikan sempena Majlis Penganugerahan Insan Junior Certificate (iJSC) dan Anugerah Kecemerlangan Abqari (AKRAB) 2020, Kolej Genius Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini semalam.

Anak kelahiran Rawang, Selangor itu berkata selain dorongan daripada ibu bapa, para pensyarah dan rakan-rakan turut sama membantu dalam kejayaannya sehingga mampu meraih anugerah itu.

- Advertisement -

“Paling utama, saya berpegang kepada amalan solat (sunat) duha setiap hari kerana saya percaya ia membuka jalan rezeki,” kata anak bongsu daripada tiga orang adik beradik itu.

Maryam yang bercita-cita menjadi ahli farmasi itu juga pernah mengikuti program pertukaran pelajar ke Nazarbayev Intellectual School, Kazakhstan selama seminggu pada Februari lepas.
 
Berkongsi kegembiraan atas anugerah sama, Hasnul Fikri Ahmad Syukri, 17, berkata beliau sentiasa meletakkan Allah S.W.T dan keluarga sebagai pendorong selain bercita-bercita menjadi pensyarah dalam bidang agama di Universiti Oxford.

“Impian saya supaya dapat aplikasikan al-Quran dan sunah dalam kehidupan seharian dan memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhan serta mahu membuka mata dunia bahawa Islam agama terbaik,” kata anak sulung daripada lapan adik-beradik kelahiran Rawang, Selangor itu.

Anugerah Abqari Perdana merupakan pencapaian tertinggi yang diberikan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum, Ulumuddin dan sahsiah terpuji.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Kamel Mohamad berkata seramai 192 pelajar diraikan semalam dan daripada jumlah itu seramai 160 penerima AKRAB dianugerahkan kepada pelajar yang cemerlang dalam aspek termasuklah akademik, hafazan dan kokurikulum.

“Sementara selebihnya adalah penerima iJSC iaitu anugerah kepada murid lepasan Asas 3 yang mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) melebihi 3.0 yang merangkumi komponen akademik, kokurikulum, hafazan dan pembangunan diri,” katanya.

Antara anugerah lain yang disampaikan dalam majlis yang telah memasuki tahun ketiga itu ialah Anugerah Khas Tamat  30 Juzuk, Anugerah Khas Olimpiad Peringkat Kebangsaan dan Anugerah Emas Penyelidikan Peringkat Kebangsaan. – BERNAMA

- Advertisement -