Penting rakyat Sabah pilih parti sehaluan pusat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Biarpun Dato’ Seri Anwar Ibrahim tiba-tiba mengumumkan mendapat sokongan cukup bagi membentuk kerajaan, namun gerak kerja kempen di Sabah tetap berjalan lancar.

Ramai menyifatkan tindakan terburu-buru Presiden PKR itu sekadar untuk meraihkan sokongan pengundi di Sabah selepas Warisan Plus terjejas teruk dengan isu tohmahan sandiwara terhadap tragedi di Lahad Datu.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pengundi di Sabah hendaklah menggunakan peluang mengundi Sabtu ini memilih parti yang sama haluan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya tindakan itu penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan di negeri tersebut.

“Biarpun begitu kita akui persaingan agak sengit sekarang. Namun kita percaya BN dan PN dapat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu ini,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini tular video calon Warisan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Segama Dato’ Mohamaddin Ketapi mendakwa pencerobohan Lahad Datu pada 2013 hanya satu sandiwara.

Beliau dilapor menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing.

Manakala di Tanjung Aru Sabah Setiausaha Agung Umno Dato’ Seri Ahmad Maslan berkata, penduduk di Dun berkenaan memerlukan banyak lagi pembangunan.

“Kita ada akujanji berkenaan macam-macam yang dijanjikan demi kepentingan rakyat Sabah sendiri,” katanya seperti dilapor Umno Online. – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -