Pemimpin WARISAN biadab dan angkuh wajar disingkir

Digesa menghadap PAT dan YDPA merafak sembah mohon taubat

- Advertisement -

SIKAP keanak-anakan pimpinan WARISAN yang bercita ganas ingin tawan Sabah dengan rakus memperlekehkan pengorbanan ATM dan PDRM adalah cerminan keruntuhan akhlak dan jati diri mereka sebagai anak bangsa Sabah.

- Advertisement -

Walhal, ribuan veteran anak Sabah dan Sarawak adalah jentera tempur ATM luar biasa keunggulan dan kehebatannya di medan tempur. Saya dilatih oleh ramai Jurulatih wibawa anak jati Borneo seperti PW 1 Tamaning dan PW 1 Tamadun. OC saya semasa di SPK (Sekolah Pegawai Kadet, Sebatang Karah Port Dickson) tahun 1980 ialah Mejar Mohamad Ibrahim orang Sarawak.

Dato’ Kanang anak Langkau orang Borneo adalah pahlawan terbilang. Isu Lahad Datu mengorbankan ramai nyawa perajurit negara. Malah ramai anggota ATM dan PDRM telah terkorban di bumi Sabah dan Sarawak menentang pencerobohan pengganas dan lanun sepanjang perairan Laut Cina Selatan.

Hakikatnya, pemimpin politik yang buta fakta dan membina emosi membenci ATM dan PDRM adalah ibarat biawak yang gemar makan bangkai. Tubuhnya busuk, makanannya busuk, namun lidah tetap bercabang menjelir kotor. Jauhilah pimpinan ala biawak lidah bercabang ini dari menjadi pimpinan Sabah.

Sebagai pimpinan veteran kebangsaan saya tampil bersuara mewakili semua 306,000 orang veteran dan keluarga mereka di seluruh Malaysia mengesa agar pemimpin politik ini segera mengadap Panglima Angkatan Tentera dan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong merafak sembah mohon taubat dan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya waris-waris, balu-balu dan anak-anak perajurit yang terkorban.

Perbuatan beliau sangat biadab, tidak bertamadun dan kurang ajar. Menghina ATM dan PDRM adalah menghina Raja-raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Perajurit ini adalah Tentera dan Polis Diraja, mereka adalah “King Soldier”. Yang di-Pertuan Agong adalah pimpinan tertinggi ATM termaktub dalam Perlembagaan Negara. Mereka telah menghina Ketua Negara berdaulat ini.

Kebebasan bersuara bukan bermakna kita boleh biadab dan celupar melulu serta hilang kesopanan dan kesusilaan, tetapi hakikatnya inilah mencerminkan keangkuhan dan akhlak yang telah tercemar.

LT KOL TUDM (B) HAJI MOHD NAZARI HAJI MOKHTAR
Presiden
Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera
(KERABAT) Malaysia – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -