PAS DUN Ibam siap sedia ke gerbang PRU15

ROMPIN: PAS Kawasan Rompin memberi isyarat kesediaan anggotanya memasuki gerbang saingan PRU15 apabila mengadakan Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS DUN Ibam di Dewan Semai Bakti Kerantong 5, di sini semalam.

Advertisement

Yang DiPertua PAS Rompin, Ustaz Nazri Ahmad menyuntik semangat jentera untuk terus memperkasakan gerak kerja asas pilihan raya di seluruh DUN Ibam secara lebih tersusun dan bersistem.

Beliau mengingatkan agar setiap individu anggota jentera tahu dan mempunyai peranan masing-masing, serta mewujudkan persefahaman sesama ahli, selain _wala’_ kepada kepimpinan untuk menghadapi cabaran PRU15.

Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah ini turut diisi dengan bacaan _al-Mathurat_, lagu Negaraku dan lagu PAS, serta tayangan montaj khas dan bacaan ikrar yang membakar semangat juang anggota jentera.

Simbolik kesiapsiagaan ini diserlahkan lagi dengan penyerahan bendera kepada setiap Unit Daerah Mengundi sebelum majlis melabuh tirai dengan bacaan doa dipimpin wakil Ulamak PAS Rompin, Shafie An Majid.

Pimpinan PAS Rompin yang hadir sama adalah Naib Yang DiPertua, Ramli Awang Ahmad serta Ketua Pemuda dan Muslimat, Ustaz Hasbullah Ismail dan Ustazah Yusmariza Yusof.

Juga Pengarah Pilihan Raya PAS Rompin, Azmi Bakar dan  Timbalan Pengarah DUN Ibam, Abu Bakar Mohamad. – HARAKAHDAILY 23/9/2020