PAS cabar Anwar tunjuk senarai Ahli Parlimen

- Advertisement -

PUTRAJAYA: PAS mencabar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikannya kenyataannya yang beliau menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dengan menyenaraikan nama Ahli Parlimen terbabit.

- Advertisement -

Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kesemua 18 Ahli Parlimen PAS tidak memihak Ketua Pembangkang itu. 

“Kami daripada PAS mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak timbul soal untuk menyeberang atau menyatakan sokongan kepada kepada yang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ozon Sedunia 2020 dan prapelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2020, di sini hari ini. 

Ditanya sama ada perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet pagi tadi, beliau berkata perkara tersebut ada dibincangkan namun hanya sepintas lalu kerana bukan isu besar. 

Mengenai kenyataan Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno dan BN  tidak dapat menghalang ahli parlimennya daripada menyokong Anwar, Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata setiap parti yang menyokong PN perlu mengawal wakil rakyat masing-masing.
 
“Parti perlu bertanggungjawab memastikan Ahli-ahli Parlimen kita mendukung PN dan saya fikir bagi pihak PAS kita komited dengan Kerajaan PN,” katanya. 

Sementara itu di KOTA BHARU, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata dakwaan Ketua Pembangkang tersebut tidak boleh diterima dengan mudah kerana sesiapa sahaja boleh membuat kenyataan sedemikian.

Tegasnya jika benar Anwar mempunyai majoriti, maka beliau perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan sama ada pembubaran Parlimen atau Perdana Menteri meletak jawatan.

“Kerajaan tidak akan tumbang kalau buat kenyataan media sahaja,” katanya yang ditemui pemberita selepas perasmian pejabat Koperasi Sindiyan Berhad hari ini.

Mohd Amar juga yakin kerajaan semasa masih kukuh dan mampu bertahan sekalipun dengan majoriti kecil.

Senada dengan desakan PAS agar Anwar mendedahkan nama Ahli Parlimen yang menyokongnya, Ketua ARMADA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu hanya sekadar gimik untuk memastikan kemenangan PKR dan sekutunya pada Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Selagi beliau (Anwar) tidak menunjukan satu persatu nama dan bilangan Ahli Parlimen yang dikatakan bersama beliau, selagi itu bagi saya semuanya omongan kosong, kita tunggu dan lihatlah sama ada apa yang beliau cakap itu betul atau tidak,” katanya selepas sesi pengumuman Pemenang Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi (iDEA) Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) 2020, di Putrajaya.

Sementara itu di KUALA TERENGGANU, Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS akan terus memperteguhkan setiakawan dalam Muafakat Nasional dan PN.

Menerusi laman sosial rasmi miliknya, Abdul Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang itu menegaskan bahawa 18 Ahli Parlimen PAS memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang masih sah di sisi Perlembagaan Malaysia.

“PAS mengajak seluruh rakyat untuk bersatu hati mendukung usaha Kerajaan PN menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara secara bersama,” demikian katanya dalam kenyataan itu. – BERNAMA

- Advertisement -