KPDNHEP aktif pantau manipulasi harga barang

Foto Facebook KPDNHEP
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian sentiasa proaktif dalam menjalankan pemantauan aktiviti manipulasi harga melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan (AKHAP) 2011, bagi memastikan kenaikan harga dapat diminimakan.

Demikian kata, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Rosol Wahid bagi menjawab pertanyaan Senator Ismail Yusop berkenaan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian dalam mengawal harga barangan susulan kadar inflasi yang meningkat.

- Advertisement -

Beliau berkata, antara langkah yang diambil oleh kementerian adalah menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat pengedaran dan pembekalan barangan dan perkhidmatan.

Selain itu juga, menjalankan pemeriksaan tanda harga ke atas barangan yang dijual, melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) untuk Perayaan Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2020, serta mengadakan program libat urus bersama peniaga dan meningkatkan keberadaan (omnipresence) pegawai-pegawai penguatkuasa.

Bagaimanapun katanya, kementerian sedia maklum bahawa kesan dan kadar inflasi yang tinggi akan memberikan impak negatif kepada pengguna terutamanya apabila masalah inflasi ini menyumbang kepada kenaikan harga barangan.

Justeru itu, pihak kerajaan juga telah memberi subsidi kepada harga-harga barangan keperluan seperti minyak masak bagi meringankan beban rakyat. – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -