Dewan Negara lulus RUU Insolvensi (Pindaan) 2020

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Negara semalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2020 bagi meminda nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan.

Pindaan itu membolehkan nilai ambang berkenaan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000, sekali gus menjadikannya lebih responsif dan komprehensif terhadap keperluan serta isu semasa berkaitan insolvensi.

RUU itu yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Shabudin Yahaya diluluskan dengan suara terbanyak ahli Dewan Negara.

- Advertisement -

Shabudin ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata Akta 360 dipinda berdasarkan keperluan tertentu termasuk mentransformasikan kerangka perundangan sedia ada kepada perundangan yang lebih relevan dengan keperluan semasa.

Beliau berkata pindaan juga bagi mengemas kini akta itu agar selaras dengan perkembangan dan kemajuan perundangan antarabangsa berkenaan insolvensi, tadbir urus korporat dan amalan terbaik dalam insolvensi.
 
“Kerajaan telah membuat perbandingan undang-undang insolvensi di beberapa negara seperti Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Kebanyakan negara telah meminda undang-undang insolvensi bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa untuk mengelak pertambahan mendadak kes kebankrapan dalam masa singkat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi  dan pembangunan negara,” katanya.

Seramai sembilan senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan berkenaan yang mengambil masa hampir sejam.

Semasa sesi penggulungan rang undang-undang itu, Shabudin berkata mengikut kajian ambang kebankrapan, jumlah kes bankrap yang didaftarkan pada 2016 ialah sebanyak 19,588 kes; 18,227 kes (2017); 16,482 kes (2018); 12,051 kes (2019), manakala bagi tempoh Januari hingga Julai lepas sebanyak 4,151 kes direkodkan.

“Selepas itu tidak ada kes kebankrapan dilakukan dan kalau lihat unjuran 2016 hingga 2019, berlaku pengurangan kes. Kita berharap dengan pelaksanaan kadar ambang RM100,000, mungkin jumlah kebankrapan ini dapat dikurangkan lagi,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -