MUKADDIMAH
Pukul 12 tengahari, semua menunggu pengumuman penting dan mengejut Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Hotel Le Meredian, Kuala Lumpur. Mata terbeliak dan mulut ternganga luas apabila mendengarnya. Tidak ada hujan, tidak ada angin, tiba-tiba muncul ribut taufan secara mengejut. Mengejut sungguh. Mengubah landskap segalanya melalui satu sidang media.
Beliau membaca kenyataan media dengan wajah yang serius, kemudian menjawab soalan para wartawan dengan sedikit sahaja keceriaan yang terpancar di wajahnya.
Intipati sidang media
Ringkasnya, Kerajaan PN telah jatuh. Beliau sekarang telah ada sokongan majoriti besar Ahli Parlimen untuk mengambil alih kerajaan. TS Muhyiddin Yasin boleh bekerjasama dengan beliau dalam pentadbiran baru dan akan dilantik ke jawatan yang sesuai. Gabungan politik ini majoritinya terdiri daripada Ahli Parlimen Melayu-Islam. Namun tidak ada Tun Mahathir dalam gabungan politik baru ini.
Beliau hanya menunggu SPB Yang di-Pertuan Agong segera sembuh dan bersedia menerima beliau menghadap mempersembahkan bukti-bukti sokongan. Kemudian, Putrajaya akan ada pentadbiran baru.
Landskap sidang media yang tidak cukup ramuan
Semua dakwaan besar sidang media tersebut langsung tidak dihiasi dengan latar belakang pentas yang menggambarkan sokongan yang dimiliki oleh beliau. Kehadiran di pentas utama sidang media adalah amat sederhana. Tiada kelibat Mohamad Sabu. Tiada Tun Mahathir. Tiada Syed Saddiq. Tiada Dr Maszlee Malek. Tiada Lim Guan Eng. Tiada Lim Kit Siang.
Tidak ada juga Menteri, Timbalan Menteri atau Shli-ahli Parlimen PN yang berpaling tadah di sebelah atau di belakang beliau. Tiada wakil GPS dan tiada juga wakil GRS.
Yang ada hanya DS Wan Azizah, isterinya dan Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung PKR.
Sokongan PAN dan DAP
PAN paling awal menyokong sidang media DS Anwar menerusi Mohamad Sabu. DAP menyusul dengan mengatakan akan bersama Anwar jika beliau memiliki nombor, walaupun sebelum ini lebih suka menamakan Tan Sri Shafie Apdhal, jika tidak Tun Mahathir.
Kelihatan seolah-olah PAN dan DAP tidak menyedari ‘move’ DS Anwar pada kali ini. Mungkinkah Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng akan kembali dijemput menjadi Menteri dalam Kabinet bayangan DS Anwar Ibrahim?
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Zahid Hamidi pula digambarkan bersifat agak lunak dengan kenyataan DS Anwar oleh portal berita MalaysiaKini.
Penafian daripada pelbagai pihak
Penafian menyokong DS Anwar, diumumkan oleh kepimpinan utama PN iaitu Umno, PAS dan GPS. Mereka menyifatkannya sebagai ‘gimik politik’ sempena PRN Sabah.
Antara yang mengeluarkan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Hasan dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Shahir Sulaiman serta Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi dan Setiausaha Agung PBB, Alexander Nanta Linggi.
Beberapa tokoh merasa sangsi dengan kebenaran dakwaan sidang media itu, antaranya Tun Mahathir dan DS Azmin Ali.
Apa perlunya dedahkan strategi sulit sebelum menghadap YDPA?
Dengan mengadakan sidang media ini, DS Anwar benar-benar mempertaruhkan reputasi dan kredibiliti dirinya. Sidang media itu juga secara tidak langsung memudahkan pihak lawan mensabotaj rancangan beliau, jika benar-benar ada.
Penyokong-penyokong yang menjanjikan sokongan kepada beliau akan dicari dan di’pujuk’ untuk berpaling tadah. Ini kerana berita telah bocor sebelum ‘serang hendap’ ke atas Kerajaan PN benar-benar berlaku. Ini adalah satu kecuaian yang tidak mungkin dilakukan sekali lagi oleh ahli strategi seperti DS Anwar.
Kemungkinan besarnya ialah beliau hanya cuba mendapatkan sokongan rakyat bagi calon-calon PKR dalam PRN Sabah. Namun, PKR hanya bertanding 8 kerusi di Sabah. Tan Sri Shafie Apdhal, Presiden WARISAN pula adalah saingan beliau untuk kerusi PM untuk blok PH Plus.
Namun harga yang dibayar untuk mendapatkan sokongan itu mungkin terlalu tinggi buat beliau.
Penutup
Oleh kerana sidang media itu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat sedang memerhatikan. Mereka akan bersabar menunggu kesahihan dakwaan itu dalam sehari dua lagi.
Jika dakwaan DS Anwar didapati tidak benar dan tidak berasas, sukar untuk beliau kembali mendapat sokongan rakyat. Umpama gembala kambing yang berbohong pada orang kampung mengenai kambing-kambingnya dimakan serigala, akhirnya dirinya sendiri yang dimakan serigala.
ZAKARIA ISMAIL
Marang, 23 September 2020 – HARAKAHDAILY 23/9/2020
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!